Kedutaan Indonesia puas hati, sifatkan perundangan negara adil
IPOH - Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.
Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Republik Indonesia, Junjungan Sigalingging berkata, keputusan itu memberi keadilan sewajarnya dan membela nasib mangsa.
Menurutnya, keputusan itu juga membuktikan sistem perundangan negara ini yang adil.
"Kita bersyukur dan sangat menghargai hakim Mahkamah Tinggi yang menunjukkan kebijaksanaan dan keadilan dalam mengendalikan kes ini.
"Kami berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, keputusan itu menunjukkan sistem perundangan Malaysia mampu membawa keadilan," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah di sini pada Rabu.
Beliau berkata, perbicaraan kes melibatkan warga Indonesia itu dipantau dengan teliti oleh kerajaan dan rakyat Indonesia sejak 2019 lagi.
Katanya, harapan yang tinggi diberikan agar perbicaraan kes itu membawa pelaku ke muka pengadilan.
"Dari awal perbicaraan di Mahkamah Sesyen kemudian berpindah ke Mahkamah Tinggi, kerajaan Indonesia yang diwakili oleh kedutaan di Kuala Lumpur memberi perhatian serius kepada kes ini kerana mangsa adalah seorang warga Indonesia," katanya.
Paul Yong, 52, disabitkan bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Bagi kesalahan tersebut, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan.
Pertuduhan ke atas beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!