Tiada masalah peralihan kepimpinan UPKO sebelum PRU15: Ewon

Ewon ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama UPKO Labuan di Labuan.
Ewon ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama UPKO Labuan di Labuan.
A
A
A

LABUAN - Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berpandangan tiada masalah jika peralihan kepimpinan parti berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, peralihan kepimpinan adalah sesuatu perkara yang biasa dalam mana-mana parti politik sama ada sebelum atau selepas pilihan raya dan ia tidak semestinya mengganggu fokus parti untuk memenangi pilihan raya.

"UPKO Kota Belud, khasnya di Kadamaian berada pada tempatnya hari ini kerana ada peralihan kepimpinan drastik yang kita lakukan pada 2013 dan peralihan kepimpinan itulah yang meningkatkan kekuatan parti di bahagian ini.

"Di UPKO Labuan pada hari ini, saya mengalu-alukan terajui kepimpinan bahagian yang baharu, Macqueel George. Saya tidak nampak peralihan kepimpinan ini sebagai satu masalah kepada bahagian ini.

"Saya juga tidak nampak masalah jika peralihan kepimpinan parti berlaku sebelum pilihan raya. Sebaliknya, mungkin itulah yang dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UPKO dan dapat menambah peluang calon-calon parti ini memenangi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama UPKO Labuan, di sini pada malam Selasa.

Ewon berkata, perlembagaan parti mencakupi kepada pemilihan semua jawatan apabila persidangan tritahunan UPKO diadakan.

"Pendirian saya mudah. Jika bahagian lain mahu mempertimbangkan saya untuk mana-mana jawatan dalam parti, bahagian tersebut harus melihat kepada rekod kepimpinan saya di Kota Belud khasnya di Kadamaian.

"Saya menghargai setiap sokongan daripada banyak bahagian. Saya juga menghormati bahagian yang belum bersedia memberi sokongan pada kali ini," katanya.

Namun katanya, bahagian ini harus maklum bahawa penggal Parlimen akan berakhir pada tahun hadapan disusuli pula dengan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berakhir pada 2025.

"Lepas PRU15, akan ada pula Pilihan Raya Negeri (PRN) dan peralihan itu bukan satu isu kerana PRU dan PRN kini berasingan.

"Jadi tidak, akan ada masa yang sesuai jika pemilihan parti dikaitkan dengan pilihan raya. Isu sebenar adalah sama ada kita berupaya menghormati kehendak majoriti atau tidak," katanya.

Sebelum itu, pada Ahad lalu, UPKO Bahagian Tuaran meluluskan usul peralihan kepimpinan parti hanya dibuat selepas PRU15 ketika Mesyuarat Agung Tritahunan Bahagian itu diadakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!