Sindiket makmal haram proses dadah terbongkar
GEORGETOWN - Penahanan seorang lelaki di tepi jalan di Seberang Perai Selatan (SPS) berjaya membongkar sindiket makmal haram memproses dadah yang dijalankan sejak enam bulan lalu.
Penahanan lelaki tempatan berusia 60 tahun itu dibuat pada 28 Mac lalu dalam operasi yang bermula jam 1.20 tengah hari hingga 7.45 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, selepas ditahan, lelaki berkenaan telah membawa polis ke sebuah premis rumah kedai di Simpang Ampat, SPS.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, rumah kedai di tingkat dua tersebut dijadikan makmal memproses dadah secara haram.
"Ketika serbuan, kita menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 40 tahun yang berada di premis terbabit. Dipercayai premis tersebut disewa untuk mereka menjalankan kegiatan haram itu. Hasil pemeriksaan, kita merampas 383 gram heroin base, 6.17 kilogram (kg) heroin dan 25 kg kafein.
"Selain itu, kita merampas dua botol kaca mengandungi kloroform dan112 bungkusan mengandungi 337.3 kg mitragynine. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM167,100," katanya kepada media hari ini.
Tambahnya, selain dadah, polis juga menemui 1,760 kotak teh herba tiruan yang didakwa mengandungi ginseng dalam 80 kotak di premis yang sama.
"Dalam 80 kotak besar yang ditemui, di dalamnya terdapat 22 kotak kecil yang mengandungi 20 uncang setiap kotak. Hasil siasatan, teh herba ini tidak dijual di pasaran namun dijual secara dalam talian dengan harga RM428 sekotak.
"Dengan harga yang begitu mahal, kita bimbang jika teh herba yang didakwa untuk membekal tenaga ini ada mengandungi bahan terlarang. Oleh itu, kita akan hantar sampel teh ini ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Nilai keseluruhan teh herbal yang dirampas adalah RM753,000," katanya.
Narenasagaran berkata, polis juga menyita tiga kenderaan dari kedua-dua ahli sindiket itu iaitu Hyundai Tucson, Mercedes Benz dan Suzuki Swift.
"Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM167,500. Turut dirampas, wang tunai berjumlah RM34,400 dan akaun bank yang mengandungi wang tunai RM442,227. Siasatan mendapati, lelaki tempatan itu mempunyai dua rekod jenayah membabitkan dadah.
"Dadah ini adalah untuk pasaran tempatan dan kita akan mengambil keterangan pemilik premis sama ada dia menyedari kegiatan sindiket ini atau sebaliknya," katanya.
Tambahnya, kedua-dua lelaki itu direman tujuh hari sehingga 4 April ini untuk disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 272 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!