LPPSA sasar sedia pembiayaan RM10 bilion tahun ini

No Image Caption
A
A
A

LEMBAGA Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyasarkan untuk mengeluarkan pembiayaan pinjaman perumahan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini kepada kira-kira 40,000 peminjam baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Nawawi berkata,untuk enam bulan pertama tahun ini, sebanyak RM6 bilion pembiayaan pinjaman perumahan telah dikeluarkan kepada 18,168 peminjam.

"Kami yakin sasaran RM10 bilion pengeluaran pembiayaan pinjaman perumahan tahun ini dapat dicapai berdasarkan trend semasa sejak kami beroperasi pada 2016, jumlah pembiayaan yang dikeluarkan tidak ‘lari’ antara RM11 bilion ke RM12 bilion.

"Kita ada data-data itu jadi kita ada unjuran untuk berapa (sasaran) pembiayaan setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara LPPSA dan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) pada Rabu.

MoU tersebut ditandantangani oleh Ketua Pegawai Operasi LPPSA, Zuwardi Zubir dan Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden yang disaksikan Mohd Farid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Mengenai MoU itu, Mohd Farid berkata, Bank Muamalat merupakan bank ketiga selepas Bank Islam Malaysia Bhd dan Bank Simpanan Nasional yang menjalin kerjasama dengan LPPSA bagi membolehkan penjawat awam membuat pembiayaan pinjaman perumahan melebihi kelayakan yang ditetapkan.

"Kadang-kadang bila penjawat awam ingin beli rumah, kelayakan mereka tak sampai, jadi dengan adanya aturan seperti ini kelayakan itu akan menjadi lebih mudah untuk penjawat awam kerana ia membenarkan bukan sahaja penjawat awam tetapi pasangan mereka dan anak-anak mereka untuk sama-sama membiayai rumah idaman mereka," katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, Bank Muamalat memperuntukkan sebanyak RM300 juta berkonsepkan patuh syariah 'Tawarruq' untuk tempoh setahun di bawah inisiatif tersebut.

Di bawah MoU itu, kakitangan sektor awam dan ahli keluarga terdekat yang berkelayakan, boleh memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Muamalat yang bersetuju menjadi pemegang "Gadaian Kedua" bagi menyelesaikan wang beza.

"Melalui pembiayaan perumahan "Gadaian Kedua" ini, pihak bank akan menyediakan pembiayaan perumahan tambahan untuk pembelian rumah idaman bagi melengkapkan pembiayaan perumahan yang telah diluluskan oleh LPPSA.

"Melalui MoU ini, pihak Bank Muamalat menawarkan margin pembiayaan sehingga 90 peratus kepada bakal pembeli rumah, dan di samping itu kos berkaitan seperti Takaful Gadaijanji (MRTT), yuran guaman dan Takaful Pemilik Rumah Jangka Panjang (LTHT) boleh dibiayai melalui pembiayaan perumahan ini," katanya.

Khairul berkata antara mereka yang layak untuk memohon di bawah inisiatif itu ialah pegawai tetap yang sedang berkhidmat dan mereka yang telah berkhidmat sekurang-kurangya setahun dan telah disahkan dalam jawatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!