Kedah berdepan gangguan bekalan elektrik
SUNGAI PETANI - Beberapa lokasi di Kedah turut mengalami gangguan bekalan elektrik termasuk di Kuala Muda, Jitra dan Kulim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min berkata, gangguan turut menyebabkan perjalanan lalu lintas di pusat bandar Sungai Petani terganggu.
Beliau yang memuat naik status di media sosial Facebook turut meminta agar orang ramai berwaspada bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
"Saya difahamkan, bekalan elektrik yang terputus kira-kira jam 1 petang tadi sudah pulih seperti biasa lebih kurang 30 minit kemudian.
"Bagaimanapun, saya juga dimaklumkan di beberapa kawasan termasuk Bandar Laguna Merbok masih berdepan gangguan bekalan sehingga kini kira-kira jam 2 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Simon Ooi sebelum itu memuat naik status berbunyi 'banyak tempat dalam kawasan Sungai Petani terputus bekalan elektrik, sesetengah 'trafik light' juga tidak berfungsi, berhati-hati semua'.
Difahamkan, beberapa bandar besar di seluruh negara turut berdepan gangguan bekalan elektrik pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!