Polis pengiring ikut peraturan, bunyikan siren kecemasan
KOTA BHARU - Polis pengiring yang mengiringi dua trak tunda dan sebuah pikap memotong di garisan berkembar sudah mengikut peraturan ditetapkan.
Sebelum ini, tular di media sosial kejadian kenderaan pengiring memotong di garisan berkembar dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Kota Bharu.
Video berdurasi 11 saat yang memaparkan sebuah kenderaan polis pengiring memotong di garisan berkembar sehingga hampir mengakibatkan kemalangan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kenderaan berkenaan juga sudah memberi amaran dan peringatan dengan membunyikan siren dan lampu kecemasan kepada pengguna jalan raya.
Menurut beliau, pengguna jalan raya perlu memberi kerjasama dengan memberi laluan atau berhenti bagi mengelakkan keadaan tidak diingini.
"Sebenarnya berlaku kekeliruan dalam kalangan orang ramai. Kenderaan pengiring ada peraturan dan mereka tidak boleh berhenti sewenang-wenangnya kerana sudah memberi siren dan amaran kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Rabu.
Tambah beliau, pergerakan kereta pengiring terbabit mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!