Jepun sedia bantu Indonesia bina loji janakuasa hidro

Jokowi (kiri) disambut Kishida (kanan) ketika Presiden Indonesia itu dalam rangka lawatan ke Jepun. Foto AFP/Kisyoshi Ota
Jokowi (kiri) disambut Kishida (kanan) ketika Presiden Indonesia itu dalam rangka lawatan ke Jepun. Foto AFP/Kisyoshi Ota
A
A
A

MOSCOW - Tokyo akan memperuntukkan pinjaman sejumlah 43.6 bilion yen (AS$322 juta) kepada Jakarta untuk pembinaan loji janakuasa hidroelektrik apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan pada pertemuan antara Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan Presiden Indonesia Joko Widodo, lapor Sputnik, memetik laporan media pada Rabu.

Widodo dalam rangka lawatan ke Jepun dan akan mengadakan beberapa mesyuarat peringkat tinggi termasuk kunjungan hormat terhadap Maharaja Jepun, Naruhito dan Maharani Masako serta Kishida.

Kedua-dua pihak turut mengesahkan semula kerjasama untuk mengekalkan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dengan Tokyo berikrar membantu mengukuhkan lagi keselamatan maritim di rantau itu, lapor Agensi Berita Kyodo.

"Saya berharap kerjasama keselamatan dua hala, termasuk pertukaran pertahanan akan dipertingkatkan lagi," kata Kishida sambil menambah bahawa tentera Jepun dan Indonesia akan mengadakan latihan bersama pada Ogos.

Sementara itu, Widodo berkata, Jakarta telah menarik balik semua sekatan ke atas produk makanan Jepun yang dikenakan selepas krisis nuklear Fukushima pada 2011 dan mengucapkan takziah atas pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, kata laporan itu.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama rapat pada sidang kemuncak G20 di Bali, tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!