Selangor bentang RS-1 sasar 14 petunjuk utama menjelang 2025

Amirudin - Foto Bernama
Amirudin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan meletakkan 14 petunjuk makro sebagai indikator pencapaian keseluruhan kepada tema strategik rancangan itu menjelang tahun 2025.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RS-1 menjadi tumpuan kepada kerajaan negeri bagi memastikan strategi dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dinilai dari segi kejayaannya.

"14 petunjuk makro utama yang ingin dicapai menjelang tahun 2025 iaitu dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 6.5 hingga 7.0 peratus setahun, pelaburan yang diluluskan untuk sektor utama dan lebih canggih sebanyak 25 bilion hingga 35 bilion setahun dan penembusan jalur lebar tetap bagi setiap 100 premis pada kadar 70 peratus.

"Selain itu, jumlah peluang pekerjaan yang dianggarkan antara 3.5 dan 3.8 juta orang bersamaan dengan kira-kira 97 peratus daripada jumlah tenaga buruh di Selangor, median pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM 9,290 sebulan, mengurangkan peratus kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus dan mengurangkan peratus kemiskinan relatif kepada 11 peratus," katanya ketika pembentangan RS-1 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.

Amirudin memberitahu, kerajaan negeri turut menyasarkan skor indeks kesejahteraan keluarga di negeri ini berada pada skala 8.0, pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau berdasarkan KDNK sebanyak 35 peratus berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005 dan jaminan bekalan air bersih harian.

Kata beliau, di samping itu tumpuan juga turut diberikan bagi meningkatkan kadar kitar semula sisa bahan buangan kepada 15 peratus, kadar penyelesaian projek RS-1 yang berimpak tinggi berada pada tahap 100 peratus selain kedudukan pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat kebangsaan berada di penarafan 10 teratas dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan berbentuk hujung ke hujung (end-to-end) sebanyak 85 peratus.

Menurutnya, RS-1 merangkumi empat tema strategi, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif yang merangkumi 19 pemacu perubahan.

"Empat tema strategi merangkumi pengukuhan ekonomi, mempertingkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat, pemacuan kelestarian dan tadbir urus lebih berkesan," ujarnya.

Amirudin memberitahu, RS-1 turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek mahu pun inisiatif yang bersifat simbiotik dan syumul di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor.

Katanya, RS-1 diperlukan bagi menghadapi cabaran besar yang berlaku antaranya krisis di luar kawalan, misalnya perang di Ukraine atau pun perang dingin di antara China dan Amerika Syarikat.

"Sudah pasti ramai yang akan tertanya mengapa perlu negeri Selangor mengorak langkah untuk menghasilkan RS-1, kerana bukankah belanjawan tahunan negeri sudah memadai?

"Soalan-soalan serta mungkin kritikan yang timbul sentiasa diterima dengan minda terbuka dan jiwa tenang oleh pentadbiran kerajaan Selangor kerana kita harus mengingati nadi pentadbiran ini berteraskan kepercayaan rakyat negeri Selangor bermula tahun 2008," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!