Hospital Kuala Krai lama dijangka beroperasi semula
KOTA BHARU - Hospital Kuala Krai lama berkemungkinan akan dioperasikan semula bagi mengatasi kesesakan pesakit di hospital-hospital utama di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, hal itu berikutan keadaan penularan penyakit berjangkit termasuk influenza yang meningkat menjangkiti orang ramai ketika ini.
Katanya, setakat ini, Kelantan merekodkan jumlah kumulatif pesakit dijangkiti influenza melebihi 31,000.
“Kita berdepan keadaan katil hospital penuh pada waktu ini, tetapi terkawal kerana berlaku keluar masuk pesakit setiap masa.
“Bagi mengatasi masalah itu, saya difahamkan Jabatan Kesihatan Kelantan bercadangan untuk menggunakan Hospital Kuala Krai lama yang digunakan untuk pesakit Covid-19 sebelum ini bagi menempatkan pesakit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan dan Pengindahan Pantai Kundor, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Plan) Malaysia, Hassan Yaakob.
Beliau berkata, penyakit influenza menjangkiti golongan dewasa dan kanak-kanak dengan merebak melalui titisan salur pernafasan dan berisiko menjadi kronik membabitkan paru-paru.
“Penyakit ini terbukti boleh dicegah melalui vaksin influenza yang bertahan selama setahun namun ketika ini, Kelantan turut berdepan keadaan kehabisan vaksin tersebut sama ada di hospital kerajaan atau klinik-klinik swasta.
“Penting untuk orang ramai mengamalkan pencegahan dan mereka akan tetap mendapat rawatan kesihatan daripada pihak kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, kerajaan akan membina jalan baharu dari Kuala Besar terus ke kawasan parking Pantai Kudor dalam usaha menarik lebih ramai pelancong mengunjungi lokasi rekreasi itu.
“Jalan sepanjang lebih satu kilometer itu akan dibina dalam tempoh terdekat dengan kos yang dianggarkan berjumlah RM250,000.
”Pembinaan akan dimulakan dengan proses perataan tanah dan jalan berbatu serta kemudian disusuli jalan tar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!