Siasatan terhadap 'Jho Low 2' dihentikan: Polis Johor
JOHOR BAHRU - Polis Johor tidak akan meneruskan siasatan terhadap seorang ahli perniagaan Malaysia, Teow Wooi Huat, 55, yang ditahan pihak berkuasa Thailand, pada Jumaat lalu melibatkan kes penipuan hartanah.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, keputusan terhadap Wooi Huat atau dikenali sebagai Teddy Teow, itu berikutan Pejabat Pendakwa Raya memaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil.
"Siasatan terhadap individu berkenaan bagaimanapun masih diteruskan polis Bukit Aman bersabit kes lain.
"Kita telah berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan memaklumkan bahawa kes yang disiasat bersabit laporan di Pekan Nanas kini diklasifikasi sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya.
"Bagaimanapun siasatan di peringkat Bukit Aman masih diteruskan kerana ada beberapa kes. Setakat ini untuk Johor kita dapati kes berkenaan telah selesai kerana ada beberapa elemen dan keterangan yang mungkin dipihak pendakwa raya tidak boleh diteruskan siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor Siri 2/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Rabu.
Majlis disempurnakan Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Seri Zamri Yahya dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.
Polis Johor sebelum ini memaklumkan sedang menyemak status siasatan berhubung kes penipuan pembelian hartanah yang melibatkan suspek menerusi satu laporan polis di Balai Polis Pekan Nanas.
Media Thailand sebelum itu melaporkan pihak berkuasa negara itu telah menahan Teddy Teow yang dianggap sebagai 'Jho Low 2', di Danok, Jumaat lalu kerana didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.
Penguasa Polis Sadao, Kolonel Bunthaeng Laocharoen dipetik sebagai berkata, Teddy Teow ada dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya dibatalkan dan tidak akan didakwa di Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!