'Kenapa perlu sekat kejohanan futsal kami' - Young Syefura

Kompleks Sukan Komuniti Felda Mempaga yang dirancang menjadi venue kejohanan tersebut. (Gambar kecil: Nazri, Young Syef
Kompleks Sukan Komuniti Felda Mempaga yang dirancang menjadi venue kejohanan tersebut. (Gambar kecil: Nazri, Young Syef
A
A
A

BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kesal berikutan pihaknya dipercayai tidak dibenarkan menggunakan gelanggang futsal di Kompleks Sukan Komuniti Felda Mempaga bagi menganjurkan Kejohanan Futsal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, di sini pada 31 Julai nanti.

Dakwanya, pihak pengurusan Felda tersebut memaklumkan kepada beliau bahwa pihak wilayah Felda Mempaga telah menerima tekanan daripada 'pihak atasan' apabila mengetahui kejohanan terbabit akan berlangsung di kompleks berkenaan.

"Pusat Khidmat DUN Ketari akan mengadakan Kejohanan Futsal DUN Ketari. Segala persiapan telah pun kami jalankan dan penyertaan diterima memberangsangkan.

"Namun persiapan kami terganggu, apabila tempahan dua gelanggang futsal yang telah kami buat bersama Kompleks Sukan Komuniti Felda Mempaga menghadapi masalah.

"Sewaktu salah seorang pegawai saya memaklumkan kepada saya mengenai perkara ini pada 22 Julai lalu, saya seakan-akan tidak percaya. Maka saya telah menghubungi pegawai wilayah Felda Mempaga untuk meminta penjelasan dan memaklumkan pihak wilayah Felda itu telah menerima tekanan 'pihak atasan'," dakwanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, perkara itu menyebabkan beliau amat kecewa dan menimbulkan pelbagai persoalan.

"Saya bukan meminta tajaan bahkan pejabat saya bersedia membayar penuh sewa gelanggang futsal untuk program ini kepada pihak Felda Mempaga.

"Mengapa saya 'tidak dibenarkan' untuk menganjurkan kejohanan ini di situ? Kejohanan yang saya anjurkan ini adalah salah satu program untuk anak muda di sekitar kawasan DUN Ketari.

"Adakah pihak yang menekan pengurusan wilayah Felda Mempaga ini tidak suka dengan program-program yang melibatkan anak muda? Kenapa perlu sekat program? Siapakah sebenarnya menekan pengurusan wilayah Felda Mempaga ini agar menyekat program ini dari berlangsung?" soalnya.

Kejohanan itu bagaimanapun tetap akan dilaksana dan lokasi baharu telah dipilih di Taman Anggerik Utama di sini.

Ujarnya, lokasi baharu itu hanya memiliki satu gelanggang menyebabkan kejohanan dijangka berlangsung hingga malam selain kekurangan fasiliti seperti ketiadaan tandas.

Sementara itu, Young Syefura mengingatkan semua pihak supaya tidak mengamalkan budaya politik kotor.

"Sudah-sudahlah dengan budaya politik busuk dan kotor ini. Sebelum ini saya tidak pernah mempunyai masalah bersama pengurusan wilayah Felda Mempaga.

"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan saya sangat menghormati mereka semua. Namun tekanan daripada 'pihak atasan' ini adalah tidak profesional dan sudah tentu sekali ini adalah amalan politik kuno dan busuk," tegasnya.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Nazri berkata, kuasa meluluskan tertakluk kepada pihak pengurusan Felda masing-masing.

"Tiada sesiapa menekan pihak Felda termasuk saya... saya tiada hak untuk menghalang mana-mana pihak mengadakan aktiviti di dalam rancangan.

"Saya sendiri menyokong untuk penganjuran aktiviti khususnya melibatkan anak muda seperti futsal," jelasnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!