Usul undi tidak percaya tak wujud

Sulaiman semasa sidang akhbar pada hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Rabu.
Sulaiman semasa sidang akhbar pada hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Desas-desus akan berlaku undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hanyalah dakwaan semata-mata.

Ini terbukti apabila perjalanan sidang DUN selama tiga hari yang berakhir pada Rabu tenang tanpa sebarang usul undi tidak percaya.

Sulaiman berkata, spekulasi itu sengaja diada-adakan setiap kali sidang DUN sedangkan hubungan beliau dengan 20 ahli Dewan Rakyat negeri itu dalam keadaan baik.

Malah katanya, ikatan persahabatan bersama Exco Kanan Pelaburan, Industri, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tidak pernah terlerai mahupun berlaku persengketaan.

"Dia datang rumah saya, saya datang rumah dia. Dia pergi pejabat saya, saya pergi pejabat dia, jadi apakah masalahnya?

"Tak ada masalah pun, saya kenal dia lama dah, berkawan lebih 10 tahun. Siapa nak jawatan ambil, saya tak ada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, sekiranya itu terjadi tidak mustahil akan berlaku lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan yakin rakyat tidak mahu melaluinya lagi.

Sulaiman tidak menolak rakyat akan terus dimomokkan dengan isu undi tidak percaya seperti ini pada sidang DUN akan datang yang dijangka berlangsung akhir tahun ini.

"Saya berlapang dada dan terima sahaja sebab kerajaan ini bukan milik sesiapa ia milik ALLAH SWT.

"Ia boleh diberi kepada siapa dan mencabut serta memualiakan dan menghina sesiapa yang dikehendaki," katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan dakwaan mungkin Sulaiman berdepan undi tidak percaya pada sidang DUN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!