Sindiket bekal, seludup tukang urut Thailand tumpas
SHAH ALAM - Sindiket membekal dan menyeludup masuk warga Thailand untuk bekerja sebagai tukang urut berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi khas selama tiga hari bermula 21 Julai itu berjaya menahan 28 individu termasuk dalang sindiket iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an.
Menurutnya, serbuan pertama pada 21 Julai berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga di Taman Pelangi yang dipandu dalang sindiket terbabit ketika dalam perjalanan menghantar empat wanita Thailand pulang ke negara asal melalui jalan tidak sah.
"Susulan itu, pihak imigresen bertindak menyerbu rumah dalang utama itu dan merampas beberapa dokumen berkaitan kemasukan dan membekal tukang urut warga asing ke pusat urut refleksologi dan spa di Johor Bahru dan sekitar kawasan selatan tanah air.
"Dua lagi serbuan turut dijalankan di pusat urut dan spa di Taman Austin dan Taman Abad dengan penahanan dua lelaki tempatan iaitu penjaga premis serta 21 tukang urut warga Thailand terdiri daripada 18 wanita dan tiga lelaki," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kesemua 28 tangkapan itu berusia lingkungan 20 hingga 52 tahun.
Tambah Khairul Dzaimee, modus operandi sindiket adalah mengatur kemasukan dan membekalkan tukang urut warga Thailand untuk bekerja di pusat urut di Johor dan negeri berhampiran dengan menggunakan pas lawatan sosial.
"Sindiket mengunakan kenalan rapat yang berada di Thailand untuk mempengaruhi dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai tukang urut di Malaysia.
"Risikan juga mendapati terdapat aktiviti yang tidak bermoral turut dijalankan oleh sindiket di sebalik perkhidmatan tukang urut," ujarnya.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati, sindiket mengenakan bayaran antara RM1,300 hingga RM1,500 bagi setiap tukang urut yang diuruskan dan dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan manakala majikan pusat-pusat urut yang terlibat disyaki mampu meraih pendapatan sehingga RM50,000 sebulan.
"Selain itu, sindiket turut menjalankan aktiviti menghantar pulang mana-mana warga asing yang bermasalah atau warga tempatan yang ingin melepasi sempadan negara melalui laluan yang tidak sah," katanya.
Tegasnya, kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika Johor Bahru untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!