TNB jamin bekalan elektrik stabil, mampu pulih segera

Tangkap layar video tular kejadian percikan api di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng pada tengah hari, Rabu.
Tangkap layar video tular kejadian percikan api di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng pada tengah hari, Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bekalan elektrik di negara adalah berdaya harap dan stabil apabila gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera.

Ia seperti yang dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada tengah hari Rabu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, pihaknya dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

Datuk Ir Baharin Din
Datuk Ir Baharin Din

Jelas beliau, pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid, termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten.

“Kami bersyukur apabila pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB, selain rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, TNB mengesahkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12.39 tengah hari Rabu dan dipulihkan sepenuhnya pada jam 3.02 petang.

Dalam perkembangan sama, Baharin menjelaskan bahawa kejadian yang berpunca dari kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, Johor itu adalah kes terpencil dan kepantasan pemulihan bekalan menggambarkan tahap daya harap rangkaian sistem bekalan TNB.

Justeru, beliau memberi komitmen bahawa TNB akan terus menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap dengan sentiasa melaksanakan senggaraan dan membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan sistemnya.

“Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini (Rabu) adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.

Beliau bagaimanapun turut memohon maaf kepada pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu dan TNB akan menjalankan siasatan terperinci bersama pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengambil langkah-langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.

Jelasnya, kerosakan di PMU Yong Peng North di Yong Peng itu tidak melibatkan sebarang kebakaran dan PMU tersebut telah pun beroperasi sepenuhnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!