Pertemuan 'Top 5' UMNO bukti tiada perpecahan
SHAH ALAM - Pertemuan lima kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memadamkan desas-desus wujudnya perpecahan atau kluster tertentu dalam UMNO, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu, bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu menunjukkan gambar pertemuan lima pemimpin tertinggi parti atau Top 5 UMNO.
Selain Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, turut kelihatan hadir dalam pertemuan pada gambar dikongsikan tanpa sebarang tarikh ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Mohamed Khalid.
“Rakaman gambar pertemuan ‘Top 5’ UMNO. Setiap pertemuan berlaku dengan penuh hormat dan perbincangan yang terbuka.
“Persefahaman yang terbit semua berasaskan kepentingan negara dan parti. Desas-desus yang mengatakan wujud kluster atau kepimpinan tertinggi berpecah adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Kepimpinan UMNO dipercayai mengalami krisis perpecahan antara dua kumpulan yang dinamakan sebagai ‘kluster mahkamah’ dan juga ahli kepimpinan parti yang berada dalam kerajaan.
Kluster mahkamah dipercayai merujuk kepada kumpulan yang diketuai beberapa pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah antaranya Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!