AUG 2022: Skuad karate mengganas di bumi Siam
SKUAD karate negara mengganas di bumi Siam manakala Azreen Nabila Alias muncul pelari wanita terpantas selepas menang emas acara 100 meter akhir wanita.
Tiga pingat emas berada dalam genggaman mereka dianggap satu pencapaian yang sangat memberangsangkan pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.
Lebih menarik, acara yang berlangsung di kampus Bang Yang Noi, Ubon Ratchathani itu menyaksikan skuad negara berjaya mengalah pencabar mereka dari Thailand untuk meraih emas dalam acara kata berpasukan lelaki.
Trio kata negara yang terdiri daripada Kojiro Yong, Song Chan Zhen dan Dennis Lim tampil dengan aksi mantap, sekali gus membolehkan mereka menjulang pingat emas acara berkenaan.
Emas kedua karate pula diperoleh menerusi C Shahmalarani selepas dia berjaya menumpaskan atlet Laos dalam acara kumite bawah 50 kilogram wanita.
Dalam acara kumite 55 kilogram wanita pula menyaksikan emas dan perak sah milik Malaysia apabila dua wakil negara beraksi di pentas final melibatkan G Dharishini dan P Madhuri.
Madhuri berjaya menewaskan rakan sepasukannya untuk menang emas manakala Dharishini berpuas hati dengan pingat perak.
Terdahulu, skuad karate negara meraih pingat perak dan gangsa dalam acara kata individu lelaki. Chan Zhen menang perak dalam acara tersebut manakala Kojiro menggenggam gangsa yang menyaksikan atlet Indonesia membawa pulang emas.
Bagi acara kata individu wanita pula, hasrat Madeline Wong untuk menghadiahkan emas tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi final.
Dia tewas kepada peserta Indonesia untuk menamatkan pertarungan tersebut dengan pingat perak.
Turut berlangsung pada Rabu adalah acara olahraga yang menyaksikan satu kejutan berlaku dalam acara lontar peluru lelaki.
Tanpa diduga, Kamal Farhan A Rahman menang pingat emas dengan balingan sejauh 16.47m selepas tidak meletakkan sebarang sasaran dalam acara tersebut mengakui terkejut dengan kemenangannya itu.
“Saya tidak begitu yakin untuk menang pingat dalam acara lontar peluru, lagipun ini bukan acara kegemaran saya. Saya lebih aktif dalam acara melempar cakera selama ini,” jelas Kamal Farhan.
Di balapan, ratu pecut negara, Azreen Nabila Alias menepati ramalan apabila menang emas acara 100m wanita akhir.
Skuad negara melakukan penamat satu-dua dalam acara tersebut selepas seorang lagi pelari negara, Nor Sarah Adi berada di kedudukan kedua.
Azreen yang mendapat tiket wild card untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu menamatkan saingan akhir itu dengan merekodkan masa 11.88s manakala Nor Sarah melakukannya dengan catatan masa 11.97s.
Bagi kategori lelaki pula, wakil negara dalam acara pecut itu, Jonathan Nyepa sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dengan masa 10.56s, sementara emas acara dimenangi atlet Thailand, Soraoat Dapbang dengan masa 10.40s.
Dalam acara 400m akhir, wakil negara dalam kategori lelaki dan wanita iaitu Muhammad Firdaus Mohamad Zemi dan Teoh Kim Chyi berjaya menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara.
Firdaus menamatkan perlumbaan akhir itu dengan masa 48.64s manakala Kim Chyi mencecah garisan penamat dengan catatan 57.11s.
Turut tampil hebat adalah atlet baling tukul besi wanita negara, Nurul Hidayah Lukman yang meraih pingat perak dengan jarak lontaran sejauh 52.62m.
Acara tersebut yang hanya menyaksikan dua peserta beraksi di pentas final menobatkan atlet Thailand Panwat Gimsrang sebagai juara untuk meraih emas. Atlet Thailand itu menamatkan saingan dengan lontaran sejauh 53.20m.
Kolam renang di kampus Ban Yang Noi pula terus menjadi venue kegemaran perenang negara menuai pingat menerusi Ong Yong Qi dalam acara 200m kuak kupu-kupu wanita.
Yong Qi yang memulakan perjuangnya di lorong kelima tidak berdepan masalah untuk mengungguli saingan tersebut dengan catatan masa 2:18.45s, sekali gus menghadiahkan emas buat kontinjen negara.
Turut menyumbang pingat dari kolam renang Ban Yang Noi adalah Welson Sim Wee Sheng yang menang perak dalam acara 200m gaya bebas lelaki dengan masa 1:52.44s manakala rakannya, Terrence Ng Shin Jan menang gangsa (1:53.44s).
Penyumbang pingat lain dalam acara renang hari ini adalah Low Zheng Yong (gangsa acara 200m kuak kupu-kupu lelaki); kuartet 4x100m gaya bebas wanita (perak) dan kuartet 4x100m gaya bebas lelaki yang turut meraih pingat perak.
Di arena badminton UBRU, khabar gembira turut dilakar oleh skuad negara apabila pasukan lelaki dan wanita mara ke final esok dalam acara berpasukan apabila membuat perhitungan dengan Indonesia untuk penentuan pingat emas.
Kemaraan mereka ke final ekoran kemenangan mudah ke atas lawan mereka di pusingan kedua hari ini dengan skuad lelaki menewaskan Singapura 5-0 manakala pasukan wanita pula turut melakar kemenangan 5-0 ke atas Singapura.
Untuk rekod, kontinjen negara kini sudah mengumpul tujuh emas 14 perak dan lima pingat gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!