JDT perkukuh cengkaman Liga Super
PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadiahkan kemenangan besar buat pengendali Benjamin Mora apabila membelasah Sarawak United, 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Rabu.
Harimau Selatan memulakan kempen gol apabila mendahului babak pertama 2-0 hasil jaringan Ahmad Hazwan Bakri (13’) dan Bergson Da Silva (20’).
Bersambung babak kedua, juara lapan kali Liga Super itu menambah lagi jaringan menerusi Syahmi Safari (79’) sebelum Fernando Forestieri melengkapkan kemenangan bergaya pelawat dengan gol minit ke-90.
Kemenangan ke-10 selepas mengharungi 12 perlawanan itu menyaksikan Harimau Selatan mengukuhkan cengkaman di puncak liga dengan mengumpul 32 mata, empat mata mengatasi tangga kedua, Sabah FC.
JDT sebelum itu berterima kasih kepada Mora atas khidmat baktinya selepas pengendali tersebut meminta untuk dibenarkan pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi.
“JDT menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk Mora kembali pada masa depan,” kata kelab tersebut yang dipetik dari laman rasmi Johor Southern Tigers pada Rabu.
Mora merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.
Pengendali berusia 43 tahun itu telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.
“Terima kasih, Benjamin. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT. Jumpa lagi,” ujar kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!