Bersabarlah apabila diuji musibah
SEJAK kebelakangan ini, macam-macam cerita mengenai kesihatan dan kesakitan berlegar di sekeliling masyarakat.
Ada sahabat yang kembali dijangkiti Covid-19 dan ada juga dibebani virus influenza.
Penulis dan anak-anak turut diuji virus influenza pada Aidiladha lalu. Kami terpaksa dikuarantin selama tujuh hari. Beberapa bulan sebelum itu, kami sekeluarga positif Covid-19.
Hati ibu mana yang tidak bimbang melihat anak-anak diuji kesakitan.
Dalam keadaan tidak bermaya, penulis perlu gagah menjaga anak-anak yang 'lembik' dek penangan virus jahat itu.
Jangan ditanya bagaimana rasanya diserang virus itu, cukup penulis katakan sakit yang ditanggung akibat influenza lagi teruk berbanding Covid-19.
Demam berpanjangan, sukar bernafas dan paling sakit ialah sendi dan pinggang bagaikan dicucuk-cucuk.
Hingga ke hari ini, kesan selepas jangkitan masih dirasai walaupun hampir sebulan.
Musibah ini secara tidak langsung melumpuhkan aktiviti keluarga buat seketika. Anak-anak terlepas sesi pembelajaran apabila tidak dapat hadir ke sekolah.
Kesan hampir menyamai Covid-19, influenza tidak wajar dipandang ringan.
Tambahan pula setiap hari ada sahaja individu dimasukkan ke hospital akibat influenza.
Di media sosial pula, ramai yang mendakwa gagal mendapatkan rawatan di hospital kerana tiada kekosongan katil.
Bahkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga bersiap sedia menambah bilangan katil sekiranya berlaku peningkatan jumlah kemasukan pesakit ke hospital.
Tidak cukup dengan kesakitan, isu kekurangan ubat-ubatan menimbulkan keresahan orang ramai.
Ubat demam, batuk dan selesema yang sebelum ini mudah dibeli di kedai-kedai runcit dan farmasi, kini sukar diperoleh. Klinik terpaksa mencatu ubat-ubatan kerana kekurangan stok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, permintaan tinggi terhadap ubat-ubatan disebabkan berlakunya peningkatan kes influenza bermusim pada ketika ini.
Beliau memberikan jaminan stok akan mula meningkat apabila Malaysia dapat mengimport lebih banyak bahan farmaseutikal aktif bermula bulan depan.
Bagi kes influenza yang semakin meningkat ini, ia mungkin disebabkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).
Kita boleh lihat ramai mula memandang ringan aspek penjagaan kebersihan di tempat awam seperti tidak membersihkan tangan secara kerap dan jarang memakai topeng muka di tempat sesak.
Biarpun tiada arahan kuarantin wajib bagi mereka yang dijangkiti, namun isolasi merupakan langkah terbaik meredakan jangkitan.
KKM pada Jumaat lalu turut melaporkan sekolah menjadi lokasi kejadian jangkitan tertinggi dengan jumlah kumulatif ialah 213 kejadian, diikuti pratadika (16), institusi atau kolej (10), rumah (enam), pusat jagaan (empat), tempat kerja serta penjara atau pusat serenti, masing-masing satu kejadian.
Setiap hari, grup WhatsApp sekolah memaklumkan ada sahaja murid tidak dapat hadir ke sekolah akibat batuk, demam dan selesema. Laporan tidak hadir ke sekolah meningkat selepas cuti Aidiladha.
Justeru, KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu berbuat sesuatu. Kasihan ibu bapa yang bergaji cukup-cukup makan apabila perlu kerap membawa anak ke klinik mendapatkan rawatan.
Bagi yang berkemampuan, mereka mungkin mempunyai lebih banyak pilihan sama ada ke klinik swasta atau terus merujuk kepada hospital pakar.
Bagi pendapat penulis, memandangkan ketika ini influenza dengan gejala batuk, demam dan selesema semakin menjadi-jadi di sekolah, ada baiknya SOP ketika Covid-19 dilakukan semula di sekolah, umpamanya membenarkan murid-murid makan di meja di dalam kelas masing-masing ketika rehat.
Murid yang makan di kantin sekolah perlu dijarakkan, tidak terlalu dekat. Ikut seperti semasa pandemik Covid-19. Meja di dalam kelas juga perlu dijarakkan antara satu sama lain.
Hakikatnya, kesakitan itu tidak mengira darjat atau kedudukan. Bezanya adalah bagaimana seseorang itu menghadapi musibah dan ujian yang datang.
Di dalam surah al-Mulk, ALLAH SWT berfirman bahawa Dia menciptakan hidup dan mati untuk menguji manusia siapakah di kalangan paling baik amalnya.
Sering kali apabila manusia diuji dengan musibah mereka keluh kesah dan merana. Tapi ketahuilah bahawa di sebalik musibah itu ada hikmah yang sangat besar.
Mungkin juga kita perlu mengambil iktibar bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
* Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!