Bila pempengaruh kini dijadikan idola
JIKA 15 atau 20 tahun lalu, kita sering mendengar orang di sekeliling termasuk rakan-rakan bercerita mengenai tokoh-tokoh negarawan, ahli akademik, ahli perniagaan, bintang sukan dan golongan profesional sebagai idola hidup mereka.
Nama-nama besar seperti Profesor Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Tony Fernandes, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Datuk Nicol Ann David dan ramai lagi sering meniti di bibir rakyat Malaysia.
Tokoh ternama ini berpengaruh kerana kejayaan hebat dalam bidang masing-masing.
Jerih perih dan perjalanan hidup mereka membina kecemerlangan dalam hidup sering menjadi sumber inspirasi golongan muda pada ketika itu.
Itu cerita dan kisah generasi X dan Y. Tapi kisah generasi Z kini sudah berbeza.
Tokoh terkemuka negara bukan lagi menjadi idola mereka, sebaliknya mereka lebih gemar mengikuti para pempengaruh di media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok sebagai ikon kehidupan mereka.
Bukannya mahu cakap kesemua pempengaruh di media sosial tidak bagus atau tidak mempunyai kisah kejayaan yang boleh dibanggakan.
Tapi, ramai daripada mereka jadi berpengaruh bukan disebabkan pencapaian dalam hidup, sebaliknya hanya bersandarkan kepada content di media sosial.
Kadang-kadang content yang dibuat pempengaruh ini hanya untuk hiburan dan berseronok-seronok sahaja, langsung tidak membina minda atau boleh dijadikan inspirasi.
Apabila anak-anak muda menjadikan pempengaruh ini sebagai idola, apa yang mereka belajar daripada golongan ini?
Untuk menjadi pempengaruh di media sosial pun tidak susah. Buat content merepek dan tebalkan muka, pasti akan ramai pengikut.
Apabila ramai pengikut, terus jadi terkenal sehingga ada yang dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi di sekolah.
Oleh itu, ibu bapa perlu membimbing anak-anak supaya mereka menjadikan individu-individu yang betul-betul cemerlang sebagai idola.
Tak salah untuk memberi kebebasan kepada anak-anak menerokai dunia digital atau media sosial, tapi perlukan pengawasan supaya mereka tidak tersasar di kemudian hari.
Bukan apa, risau sekiranya pada masa depan, anak-anak muda lebih kenal nama-nama pempengaruh di media sosial berbanding negarawan atau ahli sukan yang bertungkus-lumus mengharumkan negara di peringkat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!