Orang yang bersyukur lebih bahagia dalam hidup
SEHARI dua ini, heboh pasal Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) yang dibuat untuk mengkaji tahap kebahagiaan hidup rakyat negara ini.
Segala dapatan itu dikongsi banyak pihak. Ada yang mendabik dada, ada yang ceria dan ada juga menjadikan MHI sebagai modal politik.
Tapi bagi Merak Jalanan, indeks kebahagiaan sebenar boleh diukur dengan tahap kesyukuran kita.
Merak Jalanan teringat pesanan seorang ustaz, kebahagiaan akan melimpah ruah apabila kita bersyukur dengan apa yang dimiliki.
Tak perlu gaji besar atau duduk di rumah banglo bertingkat-tingkat, tapi apabila kita bersyukur, pasti rasa bahagia sentiasa.
Kalau tak bersyukur, gaji berpuluh-puluh ribu sebulan, rumah agam tersergam indah dan memandu kereta mewah pun, masih rasa tak cukup.
Saban hari, hati risau dan otak selalu berpusing macam mana mahu menambahkan kekayaan.
Berbeza dengan orang bersyukur dan berlapang dada menerima segala ketentuan Illahi, mereka akan rasa tenteram.
Kalau keluar mencari rezeki setiap hari pun hati tetap tenang, tidak ada kekalutan untuk mengejar kebendaan.
Mungkin secara tersirat, di sebalik dapatan MHI itu kita boleh nampak mengapa rakyat yang tinggal di luar bandar lebih bahagia berbanding mereka yang hidup di bandar-bandar besar.
Orang luar bandar mungkin terima seadanya rezeki yang mereka dapat, manakala penghuni bandar terpaksa bekerja keras untuk memenuhi tuntutan kos hidup di bandar raya.
Bukannya Merak Jalanan nak cakap orang-orang bandar tak bersyukur tapi sebahagian mereka mungkin masih terpaksa mengejar kebendaan berbanding kebahagiaan hakiki demi kelangsungan hidup.
Nasihat Merak Jalanan, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana itu kunci utama untuk mendapat kebahagiaan dalam hidup. Marilah sama-sama kita amalkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!