Penggulungan RUU Larangan Bertukar Parti dijangka hari ini

Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat.
A
A
A

PERBAHASAN hari pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berlangsung pada Rabu berjaya dijalankan dengan baik tanpa sebarang kekecohan.

Rata-rata ahli Parlimen yang mewakili parti masing-masing juga menunjukkan sokongan penuh terhadap kepentingan untuk mengadakan RUU berkenaan yang dianggap sebagai jalan penyelesaian penting terhadap ketidakstabilan politik negara.

Bagaimanapun, mereka turut membangkitkan beberapa isu berkenaan dengan ketetapan yang menurut mereka perlu ditambah baik di bawah RUU yang dibentangkan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perbahasannya berkata, antara ketetapan terkandung dalam RUU terbabit adalah pelepasan kerusi bagi ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti sama ada dalam gabungan sama atau berlainan.

Selain itu, beliau berkata, RUU itu juga menetapkan keanggotaan ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan Rang Undang-Undang itu adalah keahlian seorang ahli ahli Parlimen dalam suatu parti politik.

Katanya, RUU itu juga membuat ketetapan bahawa ahli Parlimen yang bertukar parti atau atau meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi ahli Dewan Rakyat bebas dilucutkan keahliannya sebagai ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi berkenaan.

Ismail Sabri berkata, RUU tersebut turut menggariskan tiga pengecualian terhadap larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti antaranya seseorang ahli Parlimen tidak terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Selain itu, pelepasan keanggotaan ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat juga tidak menyebabkan seseorang Ahli Parlimen terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat manakala pemecatan ahli Dewan Rakyat daripada keanggotaan dalam parti politiknya pula tidak menyebabkannya perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang disandang.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU yang dibentangkan itu dilihat tidak sepenuhya memenuhi tuntutan atau usul dikemukakan gabungannya sebelum ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, pihaknya menganggap ia merupakan satu permulaan yang sangat bermakna dan bersejarah.

Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang berkata, dengan pembentangan RUU itu, maruah politik negara dapat dikembalikan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan kerajaan membentangkan pindaan Perlembagaan itu merupakan manifestasi untuk mewujudkan "political resetting”.

Beliau yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU tersebut berkata, kewujudan perundangan tersebut perlu dilaksanakan bagi menangani ketidakyakinan rakyat terhadap sistem politik negara seperti ditunjukkan dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini melalui kadar peratusan mengundi yang rendah.

Azalina turut membangkitkan mengenai kebimbangannya jika ada negeri yang tidak mahu mengikut pindaan dalam RUU itu.

Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula mencadangkan agar wakil rakyat yang dipecat parti turut digugurkan daripada kerusi disandangnya.

Anthony berkata, ketetapan yang mengecualikan pelepasan keanggotan terhadap ahli Dewan Rakyat yang dipecat parti itu menimbulkan risiko yang tinggi kepada mana-mana parti politik.

Dalam pada itu, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, semua negeri perlu melaksanakan RUU tersebut secepat mungkin.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, pihaknya melihat hukuman individu yang melompat parti dalam RUU ini tidak begitu berat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya tujuan RUU itu diwujudkan adalah supaya tidak akan berlakunya situas kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak lagi berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 25 Julai lalu berkata, RUU itu dijangka akan digulungkan pada hari ini.

Beliau berkata, ini kerana RUU tersebut telah menjalani banyak sesi libat urus sejak Januari lepas, sekali gus sudah lazim diketahui dalam kalangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, corak bagi RUU itu juga berlainan jika dibandingkan dengan undang-undang sedia ada, berikutan ia dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas dan dicetak oleh pihak Parlimen, dan bukannya dibuat dari kamar Jabatan Peguam Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!