Dokumen Perjanjian Tanam Semula Felda didakwa berat sebelah

Tangkap layar kenyataan GWGF pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan GWGF pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Dokumen Perjanjian Tanam Semula yang diberikan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kepada peneroka untuk ditandatangani didakwa berat sebelah.

Setiausaha Agung Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Mohd Ismail Masri berkata, perjanjian itu hanya memberi kelebihan kepada Felda, bukan peneroka.

“Terdapat beberapa persoalan dikemukakan peneroka yang belum diselesaikan oleh Felda iaitu dokumen Perjanjian Tanam Semula yang diberikan kepada peneroka adalah berat sebelah.

“Selain itu, pengurusan Felda juga tidak efektif dalam menangani isu berkenaan tanam semula dan dokumen perjanjian yang tidak mengikut standard proses penanaman semula sawit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberikan kenyataan tidak tepat ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Baharom di Parlimen pada Rabu berkenaan faktor pendorong peneroka mengurus tanam semula secara individu.

Mustapa dalam sesi jawab lisan berkata, antara faktor yang mendorong peneroka mengurus tanam semula secara individu ialah mereka tidak ingin berkongsi pendapatan secara blok atau secara peringkat, isu pewarisan, ingin berdikari, isu kekurangan buruh di ladang.

“Selain itu, faktor lain adalah tiada kesepakatan waris untuk mengurus kebun dan anak-anak peneroka yang kembali ke Felda untuk menguruskan kebun.

“GWGF ingin memaklumkan bahawa kenyataan ini adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan,” ujarnya.

Jelasnya, Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail telah berjumpa dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh pada 20 September 2021 dan menyerahkan cadangan penambahbaikan dokumen perjanjian tanam semula untuk diteliti tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, GWGF turut menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 September 2021 berhubung isu sama.

“Bagaimanapun, tidak ada maklum balas berkenaan memorandum ini daripada Perdana Menteri.

“Justeru, peneroka yang tidak mahu menyerahkan ladang mereka kepada Felda untuk diurus dan ditadbir tidak boleh disalahkan.

“GWGF berharap isu tanam semula dan syarat perjanjian yang dicadangkan akan diteliti, sekiranya tiada tindakan diambil Felda, kami akan mengemukakan perkara ini kepada pihak mahkamah,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!