Wanita mati ketika dapat rawatan tradisional
AMPANG - Seorang pengamal perubatan tradisional ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan anaknya berusia 41 tahun telah meninggal dunia pada jam 6.35 petang.
"Mangsa ditemui dalam keadaan berbaring dan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah seorang wanita yang juga pengamal perubatan tradisional.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad Farouk berkata, mangsa disyaki telah datang ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan tradisional sejak seminggu yang lalu.
"Siasatan di tempat kejadian masih lagi berjalan dan punca kejadian masih lagi disiasat," ujarnya.
Beliau berkata, susulan daripada kejadian itu, polis telah menahan pengamal perubatan tradisional berusia 51 tahun itu pada jam 7.25 malam di rumah tersebut.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang Jaya pada Khamis bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!