Lelaki ditemui maut akibat dipanah petir
TEMERLOH - Punca kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui terbaring di lorong belakang sebuah pasar raya di Taman Sri Layang, Mentakab pada Selasa disahkan akibat terkena petir.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner, Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, punca kematian mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu disahkan berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan pada Rabu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati terdapat kesan panahan petir pada sebatang pokok yang berada kira-kira tiga meter dari tempat mayat mangsa ditemui.
"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan unsur jenayah sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
"Justeru orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata, mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira jam 10.30 malam pada Selasa sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihak polis ke lokasi untuk siasatan dan mendapati mayat seorang lelaki terbaring dengan kesan kecederaan di bahagian kepala.
"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!