Dasar Pembangunan Orang Asli dimuktamad suku keempat tahun ini

Mahdzir bercakap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Mahdzir bercakap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) dijangka dimuktamadkan pada suku keempat tahun ini dan seterusnya dilaksanakan pada pertengahan 2023, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dasar yang melibatkan fokus berkaitan urusan tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan itu bertujuan mengarusperdanakan masyarakat Orang Asli.

"Teras yang menjadi tunjang utama bagi dasar ini adalah perlindungan, kesejahteraan dan kemajuan serta penyampaian perkhidmatan.

"Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan mempergiatkan usaha-usaha sedia ada untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui program sedia ada," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri, dan menambah dasar itu akan menggantikan Dasar Pentadbiran Orang Asli 1961.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkenaan perkembangan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli dan fokus yang menjadi teras kepada pelan pembangunan itu.

Katanya, pembangunan secara holistik terbukti di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), RMK11 dan RMK12 bagi populasi seramai 206,777 Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, Mahdzir berkata, pada 2022, Jakoa telah diluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM113.8 juta bagi pelaksanaan 52 projek utama di perkampungan Orang Asli. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!