JKNK tingkatkan 10 peratus bilangan katil di hospital
TUMPAT - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menambah bilangan katil sebanyak 10 peratus di seluruh hospital negeri ini bagi menampung peningkatan kemasukan pesakit sejak awal bulan ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, langkah diambil memandangkan penggunaan katil sedia ada di wad hospital negeri itu telah melebihi kapasiti dengan kemasukan pesakit.
"Setakat ini, kita masih menggunakan hospital sedia ada termasuk hospital daerah. Namun, sekiranya berlaku peningkatan kemasukan pesakit ke wad dan menyebabkan penambahan katil itu sudah tidak mampu untuk menampung pesakit, kita akan mengoperasikan semula Hospital Kuala Krai lama.
"Malah, dari segi struktur dan kemudahan yang ada di Hospital Kuala Krai lama masih elok dan boleh digunakan lagi, sekiranya ada keperluan kita akan menggunakannya semula untuk menempatkan pesakit di wad hospital berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Mega Cegah Denggi 1.0 dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Jajahan Tumpat di Masjid An-Nur, Kubang Labu di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.
Sementara itu, mengulas mengenai situasi denggi di Kelantan, Dr Zaini berkata, kes demam denggi pada tahun ini merekodkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata, setakat 23 Julai, sebanyak 382 kes telah dilaporkan berbanding 129 kes pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 253 (196.1 peratus) kes dengan dua kes kematian direkodkan berbanding tiada kematian pada tempoh sama tahun lepas.
"Kebersihan persekitaran mungkin menjadi faktor yang menyumbang kepada trend penurunan ini disebabkan kurangnya tempat pembiakan nyamuk Aedes. Justeru, kami ingin menggalakkan masyarakat supaya bersama-sama melaksanakan cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes hanya 10 minit setiap minggu di premis masing-masing.
"Oleh itu, sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Gotong-Royong Mega 1.0 Cegah Aedes kali ini, daerah Tumpat dipilih sebagai tuan rumah atas pencapaian kes demam denggi yang menunjukkan trend penurunan sedangkan daerah lain menunjukkan trend peningkatan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!