[VIDEO] Marah kerana berebut kawasan berniaga buah potong

Klip video rakaman tular peniaga wanita dimarahi lelaki tidak dikenali di Parit Raja.
Klip video rakaman tular peniaga wanita dimarahi lelaki tidak dikenali di Parit Raja.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita yang dimarahi lelaki tidak dikenali ketika menjalankan perniagaan di Parit Raja di sini.

Video insiden berdurasi 2 minit 54 saat yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, wanita berusia 40 tahun itu membuat laporan polis pada jam 11.45 malam Isnin lalu.

Menurutnya hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku di pekarangan sebuah restoran di Parit Raja.

Jelasnya, semasa kejadian, pengadu bersama anaknya menunggang motosikal menjaja dari sebuah kedai ke sebuah kedai yang lain pada waktu malam.

"Pengadu menjaja buah potong di kawasan Tongkang Pechah sejak sepuluh tahun yang lalu bersama anaknya yang berumur 12, 15 dan 17 tahun. Namun baru-baru ini pengadu meluaskan lokasi perniagaannya hingga ke kawasan Parit Raja.

"Lelaki terbabit menahan pengadu dan bertindak memarahinya dengan cara yang kasar agar tidak menganggu kawasan perniagaannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Ismail, suspek berusia 37 tahun yang merupakan peniaga buah potong dan minuman ditahan pada Selasa lalu untuk disoal siasat.

"Suspek mengakui memarahi pengadu kerana tidak mahu dia menjaja di kawasan Parit Raja yang akan menjejaskan perniagaan dijalankannya sejak dua tahun lalu," katanya.

Tambahnya, tiada sebarang unsur gengsterisme dan jenayah dikesan dalam kejadian tersebut.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan saksi-saksi awam yang lain untuk mengesahkan keterangan kedua-dua pihak.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi ke atas video yang tular dengan memberi peluang kepada pihak polis meneruskan siasatan," katanya.