Adik pukul abang sampai mati
SABAK BERNAM - Perkelahian dua beradik lelaki mengenai pembelian minyak enjin bot berakhir tragedi apabila abang kandungnya maut akibat dipukul adiknya di sebuah jeti di Jalan Lima, Bagan Sungai Besar, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa, Ng Bu Tong, 61, parah di bahagian bahu kanan selepas dipukul menggunakan besi pencangkuk.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 52 tahun bertindak menggunakan besi pencangkuk yang berada di lokasi kejadian dan memukul mangsa di bahagian bahu kanan.
"Pukulan itu mengakibatkan mangsa cedera sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.
Bagaimanapun Nor Azmi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di HTAJ jam 5.20 petang akibat kecederaan yang dialami dan bedah siasat dilakukan jam 12 tengah hari ini.
"Hasil semakan polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ditahan di perkarangan IPD Sabak Bernam jam 8.50 malam.
"Suspek direman bermula hari ini sehingga Jumaat depan" katanya.
Nor Azmi berkata, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor yang ke lokasi kejadian menemui besi pencangkuk dalam sebuah bot pukat tunda.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!