Dua kanak-kanak maut, dua cedera ditimbus tanah runtuh

Keadaan rumah yang didiami Botong musnah akibat ditimbus tanah runtuh.
Keadaan rumah yang didiami Botong musnah akibat ditimbus tanah runtuh.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang ibu sempat mendakap tubuh anak bongsunya ketika ditemui tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan setinggan berhampiran rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, di sini, pada malam Rabu.

Razma Botong, 36, berkata, ketika itu dia masih berharap anaknya, Norain Julaziz, 11, sempat diselamatkan walaupun menjadi individu terakhir daripada empat mangsa yang berjaya ditemui dalam timbunan tanah runtuh berkenaan.

"Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan sebaik tiba, saya lihat rumah keluarga sudah runtuh sepenuhnya.

"Saya bergegas mencari anak dalam timbunan tanah runtuh dengan dibantu jiran yang lain. Dia berjaya ditemui dan saya sempat mendakapnya sebelum dibawa ke hospital.

"Masa itu, saya masih berharap Norain selamat tetapi rupanya dia sudah tiada," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Khamis.

Razma berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu pada pagi hari kejadian sebelum ke tempat kerja.

Razma melihat keadaan rumah keluarganya yang ranap sehingga menyebabkan anaknya terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kawasan setinggan berhampiran rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, di sini, pada malam Rabu.
Razma melihat keadaan rumah keluarganya yang ranap sehingga menyebabkan anaknya terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kawasan setinggan berhampiran rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, di sini, pada malam Rabu.

"Tiada perubahan ketara cuma saya lihat dia (Norain) gembira sejak kebelakangan ini.

"Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku namun terima ia adalah ujian untuk kami," katanya.

Bapa Razma, Botong Jaafar, 57, berkata, tidak sempat berbuat apa-apa apabila dua daripada empat cucu yang dijaganya tertimbus dalam kejadian itu.

"Ketika kejadian, saya lihat cucu bermain di ruang tamu sebelum tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat namun kami tidak sempat berbuat apa-apa.

"Saya terhimpit dalam timbunan kayu rumah,manakala cucu yang lain tertimbus dalam tanah. Saya bergegas bangun dan segera menggali timbunan tanah untuk mencari cucu yang tertimbus," katanya.

Botong berkata, ia adalah kejadian pertama yang berlaku sejak lebih 30 tahun menetap di kawasan berkenaan.

"Tiada tanda akan berlaku runtuhan tanah di kawasan ini namun memang cuaca kurang baik dan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu," katanya.

Dalam kejadian itu, sepupu Norain iaitu seorang bayi lelaki, Isa Sabri berusia dua tahun turut dilaporkan meninggal dunia di hospital manakala kedua ibu bapanya, Sabri Botong, 28 dan Siti Nur, 28 cedera akibat runtuhan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menasihatkan supaya penduduk di kawasan berkenaan segera mengosongkan rumah masing-masing.

"Terdapat sebuah lagi rumah berisiko untuk berlaku kejadian kedua dan diharap penduduk segera mengosongkan rumah kerana pergerakan tanah masih berlaku di kawasan itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!