PN kecewa Ismail Sabri tidak bersungguh penuhi terma perjanjian
SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dan parti itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN telah membuat keputusan untuk berbincang dengan Perdana Menteri mengenai perjanjian tersebut.
"Mesyuarat juga melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.
"PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat," katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau serta ahli-ahli Majlis Tertinggi PN.
Muhyiddin sebelum ini telah membangkitkan mengenai perbincangan lantikan Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dalam satu perjumpaan bersama Ismail Sabri pada awal bulan ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, mesyuarat tersebut juga telah membuat ketetapan berkenaan Majlis Pelancaran PN Negeri Terengganu pada Sabtu ini selain penganjuran Konvensyen PN pada 27 Ogos sempena ulang tahun kedua PN dan beberapa ketetapan penting bagi memperkemaskan kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!