‘Tangguh tiga tahun pelaksanaan generasi penamat'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen mengesyorkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan generasi penamat (GEG) sebagaimana yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 selama tiga tahun

Pengerusinya, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, ia bertujuan untuk memastikan satu pelaksanaan yang berkesan memandangkan penguatkuasaan bukan hanya melibatkan satu agensi, malah pelbagai agensi yang memerlukan penyediaan satu rangka kerja penguatkuasaan antara kerajaan.

“Kita tahu penguatkuasaan bukan sahaja di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi (turut melibatkan) kementerian dan agensi lain supaya tak ada salah guna kuasa dalam pelaksanaan akta ini.

“(Dan ini) bermaksud GEG ini hanya akan diimplementasi pada tahun 2025,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.

Mengulas lanjut, pihaknya turut mengesyorkan supaya memasukkan satu klausa penilaian mandatori ke dalam akta itu dan kemudiannya dipersetujui di Parlimen.

Antara cadangan lain dikemukakan pihaknya ialah kerajaan perlu mengetatkan dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap rokok-rokok haram supaya implementasi GEG dapat dilakukan secara efektif.

Tegasnya, rekod jenayah dan penjara juga tidak perlu terhadap golongan muda dan kanak-kanak yang melakukan kesalahan serta tidak direkodkan dalam mana-mana sistem.

Alternatif yang dicadangkan menurut Kelvin ialah dengan mengadakan servis komuniti dan sesi kaunseling bagi mereka yang melakukan kesalahan, manakala kompaun dikenakan harus munasabah dan satu garis panduan perlu diberikan terutamanya pesalah kali pertama.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Di bawah RUU berkenaan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

Mengulas perkara itu, Kelvin memberitahu bahawa pihaknya bersetuju dengan RUU berkenaan bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin termasuk kesihatan generasi akan datang.

Pihaknya turut bersetuju bagi mempercepat kawal selia produk tembakau dan rokok elektronik.

“Kami bersetuju bahawa kerajaan harus menangani beberapa isu dalam penguatkuasaan malah meletakkan satu penilaian mandatori untuk memastikan akta ini mencapai sasaran yang diingini tanpa ada kesan sampingan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!