NS Fest 2022 sasar jualan RM2 juta

Aminuddin (kanan) ketika melancarkan NS Fest 2022 di Dataran Nilai di sini pada Khamis.
Aminuddin (kanan) ketika melancarkan NS Fest 2022 di Dataran Nilai di sini pada Khamis.
A
A
A

NILAI - Negeri Sembilan Fest (NS Fest) 2022 kembali dianjurkan tahun ini dengan menyasarkan jualan sebanyak RM2 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program yang berlangsung selama empat hari bermula 28 Julai itu mampu menarik kehadiran ramai pengunjung.

"Sebelum ini kita sasarkan kira-kira 300,000 pengunjung, tapi melihat kepada sambutan pada hari pertama ini, dijangkakan jumlahnya lebih ramai.

"Secara dasarnya NS Fest 2022 ini adalah program tahunan kerajaan hasil kesinambungan NS Fest 2019 yang telah diadakan dengan jayanya.

Ia merupakan hasil gabungan program tahunan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan, Arena Usahawan NS dan NS Food Fest," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan NS Fest 2022 dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Dataran Nilai di sini pada Khamis.

Menurutnya, pada tahun 2019, NS Fest telah merekodkan keseluruhan hasil jualan sebanyak RM1.1 juta.

Tambahnya, berdasarkan kejayaan yang membanggakan pada tahun itu, kerajaan negeri telah menjadikan program terbabit sebagai acara pelancongan tahunan Negeri Sembilan.

"Sebelum ini kita adakan program hari penternak, nelayan, peladang dan hari keusahawanan secara berasingan, tapi selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, kita gabungkan sekali menjadi NS Fest.

"Ia bagi memastikan program ini dapat memberi impak yang lebih berkesan kepada para usahawan terutama untuk memasarkan produk mereka," katanya.

Jelasnya, sepanjang empat hari penganjuran NS Fest tahun ini, pelbagai acara diadakan dengan tarikan utama di gerai jualan usahawan tempatan Negeri Sembilan, produk hasil keluaran sektor pertanian Negeri Sembilan dan kios jualan makanan cita rasa Negeri Sembilan.

Jelasnya, penganjuran kali ini melibatkan sebanyak 250 gerai yang merangkumi gerai usahawan dan pameran dari jabatan dan agensi negeri dan persekutuan.

"Kita juga telah mengumpulkan seramai 80 peladang, penternak dan usahawan tani yang akan mengadakan jualan hasil pertanian, barangan basah dan hasil semaian serta mempamerkan produk terbaik hasil titik peluh mereka kepada para pengunjung.

"Salah satu tarikan utama NS Fest adalah dengan penganjuran Food Fest yang mengetengahkan 45 peniaga tempatan untuk menjamu dan memenuhi selera para pengunjung," katanya

Aminuddin berkata, pelbagai aktiviti sampingan turut memeriahkan lagi program seperti pertandingan fesyen, persembahan artis jemputan, pameran hasil pertanian, pameran ternakan, pameran dan jualan mekanisasi dan semestinya yang paling ditunggu-tunggu adalah 'Durio Fest' atau Durian Fest.

Katanya, penganjuran program berkenaan amat bertepatan dalam membantu dan membuka peluang serta ruang yang luas kepada usahawan,warga peladang, penternak dan nelayan untuk mengembangkan dan meningkatkan hasil mereka.

Ujarnya, ia sama ada melalui pembelajaran teknologi baharu, meneroka ruang pemasaran, mempamerkan dan mempromosi produk mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!