Juruteknik dipenjara 64 tahun, enam sebatan

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 64 tahun dan enam sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan merogol serta melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar berusia 13 tahun.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan tertuduh, Azali Abu, 40, yang membuat pengakuan bersalah selepas lapan pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik itu didapati telah merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dia turut dihadapkan dengan empat pertuduhan atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan Azali di sebuah rumah di Bachang pada 16 dan 17 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh dikesan pada 16 Jun lalu selepas ibu mangsa dihubungi pemandu van sekolah dan memberitahu remaja perempuan itu tidak ditemui selepas tamat waktu sesi persekolahan.

Wanita itu segera menghubungi rakan anaknya dan dimaklumkan bahawa mangsa telah menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki.

Pada 18 Jun lalu, mangsa pulang ke rumah dan memberitahu telah dirogol oleh tertuduh sebanyak empat kali antara jam 10 malam pada 16 Jun sehingga jam 10 malam keesokannya.

Azali yang mempunyai dua orang anak merayu agar hukuman diringankan dengan alasan dia menyesal dan insaf dengan perbuatannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tindakannya melarikan seorang pelajar sekolah dari Klang, Selangor dan bawa ke tempat asing di Melaka.

Malah tertuduh yang berusia 40 tahun sewajarnya membimbing kanak-kanak tersebut dan bukan bertindak sedemikian.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara enam tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual fizikal.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan itu berjalan secara berasingan, manakala Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berjalan serentak dari tarikh tarikh ditangkap 25 Jun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!