Maxis catat prestasi kukuh suku kedua 2022

Gokhan Ogut
Gokhan Ogut
A
A
A

KUALA LUMPUR - Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan prestasi kukuh pada suku kedua 2022, dengan pertumbuhan dalam semua segmen pengguna dan momentum yang baik dalam perniagaan perusahaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, prestasi kukuh berkenaan yang merentas semua segmen menunjukkan penekanan terhadap tumpuan syarikat pada strategi dan ketangkasan pihaknya.

"Kami berada pada kedudukan yang baik dalam pertumbuhan dan landskap telekomunikasi yang berubah dengan pantas dan kompetitif.

"Kami akan terus fokus untuk meningkatkan prestasi rangkaian konvergen kami dengan memanfaatkan bakat sedia ada untuk menyampaikan inovasi dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, hasil perkhidmatan diperoleh Maxis meningkat kepada RM2.084 bilion iaitu naik 4.3 peratus berbanding suku sama pada tahun lalu berikutan sumbangan kukuh perniagaan pengguna dan perusahaan.

Perniagaan pengguna merekodkan pertumbuhan merentas semua segmen membawa hasil kepada RM1.698 bilion, meningkat sebanyak 4.4 peratus berbanding tempoh sama tahu lalu.

Gokhan memberitahu, perniagaan perusahaan meneruskan momentum dengan memberikan hasil RM386 juta, iaitu naik 4 peratus hasil kekuatan syarikat itu dalam mudah alih, manakala segmen tetap dan penyelesaiannya yang semakin berkembang membuahkan hasil yang menggalakkan dengan pertumbuhan 6.9 peratus.

"Margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM1.014 bilion, naik 0.8 peratus tahun ke tahun.

"Ia berikutan usaha pengurusan kos yang berkesan walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk kos peranti yang lebih tinggi di bawah kontrak pascabayar, kos yang lebih tinggi untuk pengembangan rangkaian serta kerugian penjejasan akaun belum terima," jelasnya.

Gokhan berkata, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang direkod pula adalah sihat iaitu pada angka RM329 juta dengan EBITDA yang lebih tinggi, walaupun turun sebanyak 8.6 peratus tahun ke tahun.

Menurutnya, ia berlaku disebabkan oleh susut nilai dan kos pelunasan yang lebih tinggi daripada semakan hayat berguna hak spektrum serta kenaikan sekali sahaja dalam kadar cukai korporat kepada 33 peratus (Cukai Kemakmuran).

"Perbelanjaan Modal (CAPEX) bagi suku kedua yang direkodkan adalah RM241 juta, meningkat 33.9 peratus tahun ke tahun.

"Aliran tunai bebas operasi (OFCF) pula meningkat sebanyak 40.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.174 juta atas inisiatif pengurusan modal kukuh syarikat," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!