MIACES jadi platform pemain agrikomoditi tebus pasaran luar

Zuraida - Foto Bernama
Zuraida - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 yang berakhir malam ini, terbukti berjaya sebagai pusat sehenti untuk kalangan pemain sektor agrikomoditi menjalin kerjasama strategik serta memaksimumkan peluang menembusi pasaran asing.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ekspo tiga hari bermula 26 Julai lepas, turut menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mencapai hasrat kerajaan bagi memperkasa sektor agrikomoditi sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.

"MIACES 2022 yang bakal melabuhkan tirai malam ini, telah berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung dan penyertaan sebanyak 350 syarikat dari 39 buah negara sepanjang tempoh penganjurannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ekspo anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, pada 26 Julai lepas.

Zuraida berkata, MIACES 2022 turut disertai oleh kalangan generasi baharu usahawan agrikomoditi daripada pelbagai bidang yang menjadi pelapis dan pelopor industri dalam mengubah, memodenkan serta memartabatkan sektor agrikomoditi negara.

"Sektor yang dahulunya dianggap sekadar aktiviti ekonomi generasi sebelumnya, kini berjaya menarik minat usahawan muda berkemahiran daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, termasuk belia bandar,” katanya.

Beliau menyifatkan aliran tersebut menggambarkan sektor pertanian negara yang kian progresif, sekali gus menyumbang kepada visi untuk memartabatkan Malaysia sebagai hab agrikomoditi antarabangsa dalam pasaran yang dianggarkan bernilai AS$756 bilion (AS$1=RM4.45) di peringkat global.

"Turut menjadi kemuncak acara itu adalah pemeteraian beberapa memorandum persefahaman melibatkan agensi dan majlis di bawah KPPK bersama syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, KPPK turut melancarkan kempen Pergerakan Global untuk Menjuarai Manfaat Minyak Sawit bagi menyangkal dakyah antiminyak sawit dari barat.

"Kempen ini disasarkan kepada khalayak global terutamanya kerajaan, agensi, pihak berkepentingan dan media Barat yang telah menggunakan naratif antiminyak sawit dengan tujuan mengenakan sekatan import terhadap komoditi tersebut,” katanya.

Beliau juga yakin kempen tersebut dapat memperbetul salah tanggapan mengenai minyak sawit Malaysia.

"Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menegakkan kebenaran mengenai komoditi utama negara ini. Sehubungan itu, saya menggesa rakyat atas semangat Keluarga Malaysia untuk turut sama berdiri teguh menyokong usaha ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!