Sepang bakal dinaik taraf pusat pelancongan antarabangsa
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor akan membangunkan kawasan di bahagian selatan negeri ini khususnya Daerah Sepang untuk dinaik taraf menjadi pusat pelancongan bertaraf antarabangsa termasuk pembinaan hotel-hotel bertaraf lima bintang.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, usaha penaiktarafan itu akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun.
Katanya, projek pembangunan itu akan menarik lebih ramai pelancong terutamanya dari luar negara untuk datang ke negeri ini seterusnya bakal menambah nilai ekonomi negeri serta peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
"Projek yang agak besar akan dilakukan di sini (Sepang), seperti pembinaan hotel-hotel bertaraf lima bintang. Diharap akan dapat menarik lebih ramai pengunjung dari luar negara datang ke Malaysia terutamanya ke Selangor untuk mereka menginap di sini.
"Jangkaan projek ini dalam masa 10 tahun, ia berfasa, kita harap dalam masa lima tahun ni kita akan nampak pembangunan yang akan dibina di kawasan tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan Program TUKANG - Projek Kraftangan Pertama Selangor 2022 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.
Katanya, program penaiktarafan pelancongan itu juga merupakan sebahagian projek pembangunan di bawah Rancangan Selangor Pertama 2021-2025.
Terdahulu, Loy Sian menyampaikan peruntukan bajet RM10,000 kepada enam pengusaha kraf bagi menghasilkan karya seni atau produk yang akan dipamerkan pada Oktober dan November depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!