Sokongan tak putus jadikan saya manusia: Fatiya Latiff
AKTRES sensasi, Fatiya Latiff, 31, memberitahu dia masih menerima sokongan daripada orang ramai meski sebelum ini pernah terpalit dengan cerita yang tidak enak tentang dirinya.
Sehubungan itu Nur Fathia Abdul Latiff atau lebih dikenali Fatiya Latiff, berharap pengalaman lalu menjadikannya seorang yang lebih baik.
"Insya-ALLAH saya akan menjadi seorang yang lebih baik sebab itu kena berubah dari dalam.
"Saya juga mahu berterima kasih kepada semua orang yang selalu tak putus-putus memberikan sokongan.
"Perkara itu sekali gus menjadikan saya seorang manusia dan belajar daripada kesilapan lepas," luahnya.
Dalam perkembangan lain, pelakon popular Ariana Rose itu sedang bergiat dalam bidang perniagaan tudung, Manis by Fathia Latiff.
Selain itu, mengenai dunia nyanyian, Fatiya bakal tampil dengan single terbaharu berjudul, Jika Aku Tahu, berentak balada.
"Saya baru sahaja nak berjinak-jinak dan single itu nanti saya akan bermain piano," katanya berharap single tersebut diterima umum.
Terdahulu, Fatiya pernah terpalit dengan kontroversi isu solat dalam kereta selain pernah menari berpakaian seksi di aplikasi Bigo Live.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!