606 kes orang hilang di Kelantan dilapor sejak 2016

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 606 kes orang hilang dilaporkan di Kelantan sejak 2016 hingga setakat ini yang antara puncanya adalah merajuk dan tidak selesa bersama keluarga, kata Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya dua kes sahaja belum diselesaikan iaitu masing-masing pada tahun lepas dan tahun ini dengan majoriti orang hilang berusia 18 tahun ke atas termasuk warga emas.

"Setakat Jun tahun ini, 23 kes kehilangan individu dilaporkan berlaku tetapi 22 daripadanya sudah diselesaikan manakala satu kes lagi masih dalam siasatan.

"Kebanyakan kes telah kembali semula ke pangkuan keluarga selepas tiga atau empat hari dilaporkan hilang," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, statistik menunjukkan tiga daerah tertinggi merekodkan kes orang hilang iaitu Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai, namun semua kes dapat diselesaikan dengan baik tanpa membabitkan kehilangan nyawa.

Sementara itu, mengulas mengenai indeks jenayah Muhamad Zaki berkata, berlaku peningkatan 17.9 peratus berbanding tahun lalu dengan tambahan 173 kes.

"Jenayah kekerasan menunjukkan peningkatan sebanyak 21 kes manakala jenayah harta benda turut meningkat sebanyak 152 kes setakat Jun tahun ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!