Ismail Sabri tak boleh ketepikan perjanjian dengan PN: Hamzah

Hamzah pada sidang media selepas tamat persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Hamzah pada sidang media selepas tamat persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk tidak mengendahkan terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana telah ada persefahaman dan persetujuan di antara PN dan Ismail Sabri sewaktu hari pertama mereka menyokongnya.

"Dia tidak boleh tepis persefahaman yang telah kita capai. Jadi kami berasa sedikit tidak puas hati.

“Tidak ada salah untuk seseorang rasa tidak puas hati dengan sesuatu isu dan ia adil bagi kami untuk memohon perjumpaan dengan beliau,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini dilapor meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dan gabungan itu.

Hamzah berkata, PN telah membuat keputusan untuk berbincang dengan Perdana Menteri mengenai perjanjian itu.

Ahli Parlimen Larut itu dalam masa sama turut diminta mengulas mengenai UMNO yang masih belum menerima sebarang notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan untuk meminda perlembagaan parti itu.

“Kadang-kadang bila saya sebut ini, orang UMNO kata Perdana Menteri lebih berkuasa berbanding Menteri Dalam Negeri.

“Sebenarnya memang betul, saya pun sudah mengaku bahawa dia (Ismail Sabri) lebih berkuasa dari Menteri Dalam Negeri kerana Menteri Dalam Negeri tak ada kuasa tentang RoS. Jadi tak payahlah saya jawab soalan itu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!