Larangan merokok kepada generasi baharu dilaksana berperingkat

Tangkap layar video Khairy yang dikongsikan KKM di laman Twitter pada Khamis.
Tangkap layar video Khairy yang dikongsikan KKM di laman Twitter pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan mengharamkan penjualan rokok kepada generasi yang lahir pada dan selepas 2007 dibuat bagi mendidik masyarakat selain tidak mahu terburu-buru dalam melaksanakan undang-undang tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, terdapat pihak yang mempertikaikan tindakan tersebut dan mempersoalkan mengapa ia tidak dilaksanakan serta-merta.

“Keputusan seperti ini tidak boleh dibuat mendadak dan terburu-buru kerana kita perlukan masa untuk mendidik masyarakat, jadi kita memilih untuk menggunakan pendekatan berperingkat di mana akta berkenaan hanya terpakai kepada generasi yang lahir pada dan selepas 2007.

“Ini adalah supaya akta tersebut difahami dan diterima oleh generasi yang akan terkesan dengan peruntukan berkenaan,” katanya menerusi satu video yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) di laman Twitter pada Khamis.

Menurut Khairy, tindakan itu juga memberi masa yang cukup kepada golongan itu untuk memahami bahawa mereka akan menjadi generasi pertama yang membawa penamat kepada tabiat merokok.

“Pelan pelaksanaan peruntukan Generational End Game Anti Rokok-18 (GEG) atau dikenali sebagai Gegar-18 telahpun dilancarkan bagi memastikan persekitaran bebas tanpa tabiat merokok tersedia untuk generasi tersebut.

“Antara pihak yang terlibat adalah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan badan bukan kerajaan yang telah bersama dengan KPM dalam melaksanakan setiap aktiviti di bawah pelan Gegar-18 ini,” katanya.

Melalui perlaksanaan itu katanya, GEG dapat dilaksanakan secara berperingkat dan teratur dan bukan secara serentak agar tidak merugikan industri terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!