Robial Sobri buktikan aksi masih berbisa
MUHAMMAD Robial Sobri membuktikan aksinya masih berbisa apabila layak ke separuh akhir kejuaraan itu kali ini setelah terpaksa keluar gelanggang lebih awal akibat kecederaan semasa bertarung dalam tiga siri Kejuaraan Pencak Silat Dunia sebelum ini,
Beraksi dalam pusingan suku akhir kategori Tanding Kelas I Lelaki, pesilat kebangsaan berusia 29 tahun itu menewaskan pesilat dari Indonesia Hendra Wahyu Hidayat 40-17, meskipun mendapat tentangan sengit daripada pesilat negara jiran itu.
"Ini kali keempat percubaan saya bertanding di kejuaraan dunia ini dan Alhamdulillah, saya diberi rezeki kesihatan yang lebih baik sebab sebelum ini, saya alami kecederaan setiap kali bertanding.
"Tapi kali ini, walaupun ada alami 'slipped disc' (cakram gelincir), saya masih dapat berlawan dengan baik malah ini adalah kali pertama beraksi dalam Kelas I. Tentangan memang hebat dan saya bersyukur kerana mendapat sokongan padu dari jurulatih, rakan-rakan dan penyokong Malaysia untuk aksi tadi," katanya kepada media selepas perlawanan pada Khamis.
Bagi pertemuan aksi separuh akhir, pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu dijadualkan bertemu pesilat dari Amerika Syarikat Earl Hulburt, yang sebelum itu menewaskan peserta India Piyush Abhay Shukla dengan pungutan mata 36-12.
Pada aksi suku akhir itu, pertembungan klasik antara Malaysia-Indonesia berlangsung dalam suasana cukup mendebarkan di hadapan lebih 200 penyokong kedua-dua negara, apabila kedua-dua pesilat saling mengikat kedudukan mata terutama pada pusingan kedua perlawanan, sebelum Muhammad Robial menamatkannya dengan kedudukan 21-15.
Malah pada pusingan ketiga, perlawanan sedikit tegang apabila pesilat dari Kedah itu menendang bahagian muka Hendra, hingga terpaksa diperiksa pasukan perubatan.
Mengulas aksi separuh akhir pada Sabtu ini, Muhammad Robial berkata, beliau akan memberi yang terbaik malah mempertajamkan teknik dan taktikalnya.
"Ini pertemuan pertama saya (dengan Earl Hulburt), dan sudah tentu agak sukar untuk menduga corak perlawanannya terutama sebelum ini saya bertanding dalam Kelas yang berbeza. Pun begitu saya akan berikan yang terbaik dan harapan utama saya adalah kesihatan saya tidak lagi menjadi penghalang untuk saya beraksi seperti sebelum ini," katanya.
Edisi kejuaraan ke-19 yang berlangsung selama enam hari, disertai lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!