Warga emas rugi RM5.29 juta terpedaya 'Love Scam'

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas kehilangan semua wang simpanan miliknya berjumlah RM5.29 juta setelah terpedaya dan menjadi mangsa penipuan Love Scam sejak awal Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa berusia 64 tahun yang merupakan pengarah sebuah syarikat di Ipoh, Perak dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat menerusi media sosial.

"Mangsa telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai sebagai paramedik di sebuah hospital swasta menerusi laman sosial 'Online Dating’.

"Suspek kemudian bertindak memperdaya mangsa dengan menyatakan ada menerima kontrak besar pembekalan peralatan perubatan bernilai AS$22 juta (RM97.9 juta) dan perlukan dana modal permulaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, suspek turut berjanji ingin mengahwini mangsa.

"Mangsa yang terperdaya kemudiannya melakukan 120 transaksi pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang diberikan oleh suspek secara berperingkat berjumlah keseluruhan RM5.29 juta.

"Mangsa telah menggunakan kesemua wang simpanan dan membuat pinjaman dengan pemberi pinjaman wang berlesen," katanya.

Menurutnya, laporan polis dibuat mangsa pada 28 Julai setelah menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

"Semakan awal mendapati akaun bank yang terlibat juga mempunyai rekod untuk beberapa kes penipuan yang lain menggunakan modus operandi yang sama.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!