Ekonomi Malaysia jangka terus kukuh suku kedua tahun ini
PETALING JAYA - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada suku kedua tahun ini, disokong oleh beberapa petunjuk ekonomi termasuk perdagangan yang meningkat sebanyak 43.4 peratus kepada paras tertinggi baharu berjumlah RM270.4 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, eksport turut meningkat sebanyak 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion manakala import melonjak 49.3 peratus kepada RM124.2 bilion.
"Pasaran buruh juga lebih baik dan kadar pengangguran menurun kepada 3.9 peratus pada Mei berbanding 5.0 peratus pada bulan sama pada 2020,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersempena Ulang Tahun ke-60 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, pada Khamis.
Mengulas selanjutnya, Ismail Sabri berkata, jualan perdagangan borong dan runcit turut mencatat peningkatan sebanyak 19.9 peratus pada Mei lepas manakala jualan sektor pembuatan menokok sebanyak 15.7 peratus bagi tempoh sama.
Perdana Menteri menyifatkan, prestasi ekonomi yang baik itu turut disokong oleh dasar-dasar kerajaan yang konsisten terutamanya inisiatif di bawah Bajet 2022, pakej rangsangan dan bantuan-bantuan lain yang diperkenalkan.
"Ekonomi kita kini terus mencatatkan pemulihan sepanjang negara berada dalam fasa peralihan ke endemik selepas dua tahun berdepan ancaman Covid-19.
"Di sebalik pandemik itu pula diikuti dengan kenaikan harga barangan dan inflasi akibat gangguan rantaian bekalan global serta krisis geopolitik serantau... Alhamdulillah prestasi ekonomi dan perdagangan negara terus kekal utuh,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, bagi suku pertama 2022, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5.0 peratus disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.
"Bagi tempoh sama, sejumlah RM42.8 bilion pelaburan telah diluluskan yang melibatkan sebanyak 910 projek dan mewujudkan 24,906 peluang pekerjaan baharu untuk Keluarga Malaysia," kata beliau.
Malah, Ismail Sabri berkata, agensi penarafan antarabangsa global, S&P juga telah menaik taraf prospek penarafan Malaysia daripada negatif kepada stabil, sekali gus memaparkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kredit dan kemampuan negara ini mengharungi cabaran fiskal selepas pandemik.
Mengulas majlis malam ini, beliau meminta ahli-ahli NCCIM agar peka dan mengambil inisiatif untuk mematuhi peraturan-peraturan perburuhan supaya kekal berdaya saing di pasaran sedia ada serta meluaskan lagi potensi di pasaran baharu.
Menurutnya, ini selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu negara berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dengan tumpuan utama untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berlandaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memastikan kelestarian pengeluaran dan operasi perniagaan, termasuk mematuhi standard perburuhan antarabangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!