Kemanisan di sebalik ‘denyut‘ dan ‘degup‘

No Image Caption
A
A
A

DENYUT jantungku berdebar

Terasa indahnya

Dunia ini kita yang punya

Akulah mataharimu

Kaulah kekasihku

Kita kan bersama selamanya

Jika ditanya pada Merak Jalanan, lagu apakah yang paling popular ketika ini, jawapannya sudah pastilah lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin. Buka sahaja IG Reel, TikTok, lagu itu saja yang dipilih sebagai latar video masing-masing.

Mula-mula Merak Jalanan okey sahaja sebab memang lagu itu sedap didengar. Terasa seronok dan menghiburkan. Namun apabila dalam sehari, lagu itu sahaja yang muncul, lama-lama naik jemu pula.

Bercerita mengenai lagu, baru-baru ini kecoh fasal ‘denyut’ dan ‘degup’. Semuanya bermula dengan seorang guru mengulas penggunaan perkataan denyut dan degup. Jantung katanya lebih sesuai dengan degup berbanding denyut.

Kemudian ramailah yang memberi maklum balas.

Jika merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, secara ringkas definisi denyut: gerakan turun naik atau kembang kempis (nadi, jantung, ubun-ubun). Sementara definisi degup pula ialah bunyi seperti denyutan jantung yang keras; berdegup, berbunyi degup.

Jelas seperti yang telah diterangkan oleh ramai pakar bahawa denyut dan degup boleh digunakan untuk jantung. Apatah lagi dalam konteks gaya bahasa sastera. Nak guna perkataan detak pun tak ada masalah sebenarnya.

Merak Jalanan okey sahaja nak guna mana-mana kerana kedua-duanya betul. Namun apa yang Merak Jalanan terfikir, rupa-rupanya masih ramai yang mencintai bahasa Melayu di sebalik penggunaan tatabahasa dan ejaan oleh sesetengah generasi muda zaman ini yang ada kalanya sangat menyedihkan.

Harapan Merak Jalanan semoga anak-anak muda kita terus berbangga dan pertahankan bahasa Melayu kita. Jika bukan kita siapa lagi kan?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!