Gaya hidup sihat, hijau warga kota
KUALA LUMPUR - Sokongan diberikan Sinar Harian terhadap penganjuran KL Free Car Morning oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi program Fun Walk Sinar Harian 16 bakal meningkatkan lagi tarikan orang ramai terhadap acara mingguan tersebut.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya sangat menghargai pihak swasta memberikan dukungan dalam membantu memastikan kesinambungan acara tersebut yang dilaksanakan bagi meningkatkan amalan pengangkutan hijau dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, ia dilihat bakal turut membantu menjadikan KL Free Car Morning sebagai salah satu produk pelancongan utama bandar raya Kuala Lumpur.
“Dengan liputan terhadap acara ini, sudah tentu bukan orang Kuala Lumpur sahaja yang akan mula tahu mengenai acara ini, tapi orang luar daripada Kuala Lumpur pun boleh tahu. Jadi semua orang boleh datang,” katanya ketika diwawancara Sinar Harian pada Rabu.
Fun Walk Sinar Harian 16 yang akan diadakan pada 31 Julai ini merupakan antara program utama yang dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun Sinar Harian ke-16.
Program terbuka kepada orang ramai itu bakal diwarnai dengan penglibatan lebih 500 kakitangan dan keluarga Sinar Harian serta Kumpulan Karangkraf yang akan mengambil peluang tersebut untuk mendekati komuniti pembaca.
5,000 orang setiap minggu
Dalam pada itu, Mahadi berkata, sejak sembilan tahun penganjurannya, KL Free Car Morning itu kini mendapat sambutan semakin hebat dengan kehadiran pengunjung lebih 5,000 orang setiap minggu.
Katanya, ramai daripada pengunjung menggunakan kesempatan untuk melakukan aktiviti sihat seperti berjalan kaki, berlari dan berbasikal bersama keluarga.
“Maka dengan itu, ia secara tidak langsung menyokong kepada amalan keluarga sihat dan membentuk warga kota yang mempunyai budaya sihat yang sudah tentu bakal menyumbang kepada pembangunan negara secara umumnya,” ujar beliau.
Pada masa sama, Mahadi berkata, terdapat juga pelancong dari luar negara ikut serta melakukan aktiviti dalam program KL Free Car Morning, malah ada juga yang datang dengan tujuan untuk berbasikal mengelilingi sekitar bandar raya Kuala Lumpur.
Menurutnya, antara matlamat utama penganjuran acara mingguan itu adalah bagi menerapkan penggunaan mobiliti hijau seperti berbasikal dan berjalan kaki di bandar raya tersebut.
“Objektif itu dilakukan berdasarkan pelan perancangan Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 yang menyasarkan penurunan pengeluaran karbon di bandar raya tersebut sebanyak 70 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Sehubungan itu, Mahadi berkata, pelaksanaan KL Free Car Morning itu bakal diperluaskan di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur selari dengan kemajuan pembangunan infrastruktur mobiliti hijau seperti laluan berbasikal dan pejalan kaki di bandar raya tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!