Penunggang motosikal maut langgar belakang lori
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu pembangunan masyarakat maut selepas dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya dalam kemalangan di hadapan kilang bata Jalan Salor Lama di sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Hafiz Abdul Ghafar, 40, dikatakan telah melanggar bahagian belakang sebuah lori yang sedang menunggu untuk membelok.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan telefon memaklumkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Ego telah maut akibat terbabas sendiri.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 49 tahun itu datang dari arah bulatan Kota menghala ke arah Pasir Mas.
"Sampai di tempat kejadian pemandu lori tersebut telah memberi isyarat ke kanan untuk ke kilang bata," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, semasa menunggu untuk membelok tiba-tiba datang sebuah motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah belakang dipercayai terus melanggar bahagian belakang lori tersebut.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada kepala.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!