Malaysia vs Indonesia: Benarkah kita merudum?
SELALU dipaparkan ekonomi Indonesia semakin baik dari Malaysia. Bagus mempunyai negara jiran yang hebat. Menjadi cabaran buat Malaysia.
Adakah kita mempunyai asas untuk kembali melonjakkan ekonomi negara kita berbanding negara jiran?
Saya semak penilaian dunia utama yang terkini terhadap kita. Berdasarkan beberapa indeks penilaian utama dunia, jawapannya, ya. Kita ada asas. Sangat jelas penilaian dunia terhadap Malaysia adalah jauh lebih baik dari Indonesia.
1. World Competitiveness Index 2022: Malaysia (32) mempunyai daya saing yang lebih tinggi dari Indonesia (44)
2. Complexity Index 2022: Kecanggihan ekonomi untuk mengaplikasi teknologi Malaysia (24) jauh lebih tinggi dari Indonesia (67)
3. OECD PISA Score 2018: Score Malaysia (Membaca (415), Matematik (440), Sains (438)) lebih tinggi dari Indonesia (Membaca (371), Matematik (379), Sains (396))
4. Global Innovation Index 2021: Malaysia (36) mempunyai keupayaan dan kapasiti berinovasi jauh lebih tinggi dari Indonesia (87)
5. Global Food Security Index 2021: Malaysia (39) jauh lebih terjamin keselamatan makanan dari Indonesia (69)
6. Corruption Perception Index 2021: Persepsi gejala rasuah di Indonesia (96) jauh lebih teruk daripada persepsi rasuah di Malaysia (62)
Tetapi...
Pengamatan umum dalam sosial media, rakyat Malaysia seolah-olah jauh lebih suka memburukkan negara sendiri. Hilang keyakinan dan merasakan Malaysia semakin merudum dalam banyak konteks.
Lebih buruk, seolah membenci negara sendiri. Terperangkap dengan serangan persepsi yang memburukkan negara sendiri.
Maaf. Itu yang sering dilaung dan dipaparkan. Bangun rakyat Malaysia. Kita ada kekuatan. Ini negara kita. Yakin dengan keupayaan kita. Kalau dunia menilai kita lebih baik, walaupun bukan terbaik di dunia, kita mempunyai asas yang kuat.
Kalau dinilai lebih baik dari negara jiran. Mengapa kita menolak penilaian dunia terhadap kita. Yang tidak baik ada pada semua negara. Kita terlalu banyak menghabiskan masa memikir dan membincang yang buruk dan tidak baik hingga kita lupa dan tidak percaya dengan kekuatan sendiri.
Masa untuk fokus pada kekuatan kita. Mungkin ini yang berlaku di negara jiran kita.
Hate Your Own Country Index?: saya belum jumpa indeks ini. Agaknya ranking kita tinggi kalau ada indeks ini.
Mohon maaf atas luahan saya. Untuk Malaysia. Dari MINDA-UKM.
*Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!