Karate dabik dada, lepasi sasaran empat pingat emas
Hasrat bagi menepati sasaran empat emas buat kem karate itu dilunaskan Siti Nur Azwani Nor Azli dalam acara kumite individu wanita bawah 68 kilogram (kg) pada aksi berlangsung di kampus Ban Yang Noi.
Karate terus garang apabila terus melepasi sasaran emas dengan meraih pingat kelimanya menerusi S Sureeya dalam acara kumite individu lelaki bawah 67kg.
Tidak terhenti di situ emas keenam pula diraih selepas A Denishroy memenangi acara kumite individu lelaki bawah 84kg.
Karate dalam masa sama meraih dua perak menerusi S Geerijalswaran (kumite individu lelaki bawah 60kg) dan G Kathish (kumite individu lelaki bawah 84kg).
Sementara itu, tiga gangsa menerusi Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (kumite individu lelaki bawah 75kg), S Rajev Naaidu (kumite individu lelaki bawah 84kg) dan Amirah Syahirah (kumite individu wanita bawah 68kg).
Rabu lepas, tiga pingat emas terhasil daripada kem karate yang hanya selangkah dalam menepati sasaran empat pingat mereka.
Sementara itu, di gelanggang olahraga turut memberikan khabar gembira selepas tiga pingat emas turut disumbang.
Luqman Hakim Ramlan membuat lompatan sejauh 7.31meter (m) memenangi acara lompat jauh lelaki, Sadat Marzuki Ajisan membuat balingan sejauh 56.00m memenangi acara baling tukul besi lelaki diikuti Mohamad Eizlan Dahalan berjaya membuat lompatan setinggi 2.10m untuk memenangi acara lompat tinggi lelaki.
Aksi di kolam renang pula menyaksikan Olimpian negara, Welson Sim yang sebelum ini mempamerkan aksi kurang menyerlah sejak hari pertama akhirnya berjaya menyumbang emas menerusi acara 100m gaya bebas lelaki. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!