Dua pelajar sahut cabaran bermalam di IKEA ditahan

Shafee Abdul Samad
Shafee Abdul Samad
A
A
A

BATU KAWAN - [DIKEMASKINI] Hanya kerana mahu menyahut cabaran melepasi kawalan keselamatan dan bermalam di gedung perabut IKEA, dua pelajar tingkatan lima ditahan polis dalam kejadian di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, dua remaja berusia 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.40 pagi selepas kelibat mereka dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) oleh pengawal keselamatan yang bertugas.

Menurutnya, soal siasat yang dilakukan mendapati mereka masuk ke dalam premis berkenaan kira-kira jam 8 malam Khamis lalu dan berlegar-legar di dalam premis berkenaan sehingga jam 10 malam.

"Walaupun pengumuman untuk menutup operasi perniagaan telah dibuat pada jam 9.45 malam namun kedua-dua remaja terbabit tidak mengendahkannya dan mereka bersembunyi di dalam almari pada ruang pameran gedung perabot berkenaan.

"Apabila premis berkenaan telah ditutup mereka kemudiannya keluar dan berjalan di bahagian ruang tempat tidur sambil merakamkan aksi mereka antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi di sini.

Shafee berkata, kedua-dua remaja itu juga mengaku tujuan mereka memasuki premis itu untuk merakam video dan mengambil gambar kemudian diviralkan di media sosial bagi menunjukkan keberanian mereka melepasi keselamatan.

Katanya, kejadian sama juga pernah berlaku di Gedung IKEA Damansara apabila seorang wanita melakukan perbuatan sama.

“Polis mendapat maklumat berhubung kejadian ini daripada pengurus pengawal keselamatan di gedung kelengkapan rumah berkenaan apabila mengatakan premis itu diceroboh dua remaja terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua mereka yang tinggal di Simpang Ampat di sini ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, cabaran bermalam itu dimulakan pada 2016 selepas seorang selebriti YouTube, Bakuna Fatata merakam video dirinya tidur semalaman di IKEA.

Cabaran itu mengkehendaki penonton bersembunyi di dalam premis perniagaan seperti IKEA atau pusat beli-belah semalaman tanpa ditangkap oleh pengawal keselamatan.

Individu yang mengambil cabaran itu biasanya datang ketika premis hendak ditutup dan bersembunyi di mana-mana kawasan sebelum keluar berlegar-legar dalam premis hingga keesokan hari.

Mereka kemudiannya akan keluar melarikan diri dan melepasi pemeriksaan oleh pengawal keselamatan.

Sementara itu, di Singapura semalam, Channel NewsAsia melaporkan, lima remaja yang berusia antara 16 hingga 18 tahun ditangkap pihak berkuasa Singapura kerana menceroboh di gedung perabot IKEA Tampines di republik itu pada Ahad.

Polis Singapura dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah dihubungi berkenaan kes pencerobohan dengan niat di gedung perabot terkemuka itu sekitar jam 12.50 pagi.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa kumpulan remaja itu bersembunyi di dalam bangunan dan terus berada di situ melebihi waktu operasi," ujar kenyataan tersebut.

Pasukan anggota polis dari cawangan Bedok telah digegaskan ke lokasi tersebut dan berjaya menangkap kelima-lima mereka.

Mereka yang didapati bersalah atas pencerobohan itu boleh didenda hingga S$1,000 (RM3,013), satu jumlah yang tidak berbaloi untuk ditanggung hanya kerana percubaan 'melakukan aktiviti malam bersama kawan-kawan'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!