PRU15: Hasni belum tentukan kerusi ditandingi
JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memaklumkan belum mempunyai 'senarai pendek' kawasan Parlimen mana yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor sebelum ini menyatakan kesediaan bertanding di kerusi Parlimen pada PRU akan datang berkata, perkara tersebut tidak boleh dirancang sekarang dan pucuk pimpinan yang akan membuat keputusan, bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.
"Saya serah kepada pucuk pimpinan, saya tidak ada 'short list' (senarai kawasan Parlimen yang akan ditandingi). Saya rasa di Johor ini kita ada contoh-contoh di mana calon atau ahli parti dari bahagian lain bertanding di bahagian lain.
"Johor pernah sahaja ada keadaan macam contoh Tun Musa Hitam yang merupakan ahli UMNO Segamat bertanding di Kota Tinggi, begitu juga Tan Sri Syed Hamid Albar dari Bukit Bintang (juga) bertanding di Kota Tinggi.
"Jadi saya rasa di mana saya bertanding atau bertanding di kerusi mana bergantung kepada keadaan dan situasi (keperluan) ketika itu, itu tidak boleh dirancang dan disusun sekarang, tengok pada keadaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis BBQ Santai Kelab Media Johor (KMJ) bersama Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Hasni Mohammad di Grand Almizan Restaurant, M Suites Hotel pada malam Khamis.
Turut hadir Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak yang juga Presiden Persatuan Kelab Media Malaysia.
Pada Khamis, Hasni menyatakan kesediaan bertanding di peringkat Parlimen pada PRU15 dan pucuk pimpinan parti sudah pun menyatakan persetujuan membenarkan dirinya bertanding di kerusi Parlimen.
Sebelum itu, beberapa portal berita melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu akan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Pontian, Simpang Renggam dan Tanjung Piai.
Hasni pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian pada PRU11 sebelum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memegang kerusi Parlimen itu selama tiga penggal sejak 2008.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian merupakan ADUN Benut sejak 2008 sehingga kini dan pernah dilantik menjadi Menteri Besar Johor pada 28 Febuari 2020.
Hasni yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kira-kira 70 peratus muka baharu akan menjadi calon BN pada PRU15.
Beliau percaya PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat dan keyakinan itu berasaskan perkembangan terkini dalam negara antaranya apabila Memorandum Persefahaman (MoU) 2.0 antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi disambung.
"Akta Lompat Parti nyatakan pendirian MoU 2.0 tidak diteruskan. Ini sebagai tanda PRU wajar diadakan dalam masa terdekat. Kenapa ada MoU antara semua parti?
"Ini kerana bagi menjamin kestabilan (politik), keadaan terkawal dalam Parlimen, kalau tidak sambung ia tentu perlu diganti dengan sesuatu yang dapat jamin kestabilan yang lebih baik iaitu adakan PRU," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!